Program Bersama Masyarakat Dapat Sulami Masalah Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Program mingguan Wanita UMNO Segamat bersama masyarakat diteruskan seperti biasa dengan norma-norma baharu bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan biar pun berdepan dengan pandemik tersebut, Ketua Wanitanya, Datuk Norshida Ibrahim bersama mereka yang lain terus bergerak menyantuni masyarakat setempat.

Kali ini bersama Puteri UMNO setempat serta pimpinan bahagian dan kalangan pimpinan tepatan lain menyantuni mereka yang kurang berkemampuan dan ziarah secara dekat mereka yang ditimpa musibah dan sebagainya.

“Alhamdulillah, hari ini saya dan  sahabat kepimpinan Wanita Bahagian menziarah Saudari Nurul Nadia Daud yang baru menjalani dialisis mingguan, Kak Normala yang menghidap kencing manis serta Bondanya yang sedang dalam rawatan perubatan di Hospital Segamat. Semoga Allah mengurniakan kesembuhan kepada mereka semua,kembali ceria bersama keluarga,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Norshida yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO menjelaskan pelbagai program dilaksanakan dan diatur oleh pimpinan setempat pada hujung minggu Sabtu dan Ahad selain melihat secara menyeluruh kawasan atau pun masalah yang dihadapi oleh penduduk tempatan.

Menurut beliau politik khidmat bakti akan diteruskan dari semasa ke semasa cumanya perlu disesuaikan dengan keadaan semasa negara khususnya kawasan Segamat itu sendiri dalam mengekang penularan wabak COVID-19.

Menjelaskan rutin mingguan, Norshida memberitahu pihaknya akan turun padang ke kawasan yang tidak lagi mendapat apa apa perhatian dan sebagainya daripada pihak berkenaan.

“Usaha ini untuk memastikan kita saling membantu mana-mana yang masih tidak mendapat  sumbangan atau sebagainya supaya tidak ada yang keciciran daripada mendapat sumbangan sewajarnya. Inilah misi dan matlamat kita. Insya Allah.,” katanya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.