Pemuda UMNO Ampang Ambil Inisiatif  Santuni Penghantar Makanan

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kesungguhan serta komitmen penghantar makanan yang boleh juga dikategorikan sebagai barisan hadapan, mendapat perhatian Pemuda UMNO Ampang hari ini apabila mengambil inisiatif tersendiri dalam mengiktiraf peranan golongan berkenaan.

Biarpun sumbangan sederhana, namun secara dasarnya sumbangan tersebut memperlihatkan keprihatinan Pemuda UMNO Ampang terhadap penghantar makanan daripada kawasan tersebut apabila menyumbang 200  topi keledar.

Menurut Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Shahrul Nasrun Datuk Kamarudin, penghantar makanan boleh JUGA DIANGGAP sebagai ‘barisan hadapan’ kerana SANGGUP  berhujan dan berpanas menghantar tempahan pelanggan sepanjang negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

Katanya, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dikuatkuasa setahun lalu, pelanggan memilih untuk membuat tempahan makanan secara atas talian.

“Selain pekerja sektor kesihatan, keselamatan, penghantar makanan merupakan ‘frontliners’. Sepanjang kita berdepan pandemik, rata-rata yang bekerja menempah makanan secara atas talian. Penghantar makanan Grabfood, Foodpanda, BungkusIt selain syarikat-syarikat lain telah menempuh perjalanan serta cabaran selain terpaksa berhujan dan berpanas.

“Peningkatan tempahan mendadak sekaligus membuatkan golongan anak muda terutama yang telah hilang pekerjaan memilih bekerja sebagai penghantar makanan,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Shahrul yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Ampang juga menjelaskan pihaknya bimbang serta khuatir jika  aspek keselamatan para penghantar makanan tidak diambil peduli oleh syarikat penghantar makanan.

“Syarikat penghantar makanan perlu lebih peka dalam melindungi keselamatan pekerja dengan membekalkan peralatan ‘safety’ dan menjaga kebajikan mereka.

“Keperluan seperti helmet, ‘glove’ dan juga jaket keselamatan ‘body armour’ bagi melindungi penunggang apabila berlaku kemalangan. Jika kita tengok di luar negara, penunggang motosikal mengutamakan soal keselamatan. Tidak kira motosikal berkuasa besar atau kecil setiap penunggang motosikal menggunakan ‘suit’ keselamatan,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.