30 Tahun UMNO Sabah : Stabilkan Politik Negeri, Bawa Pembangunan, Bela Rakyat – Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Kelahiran UMNO Sabah telah menstabilkan politik negeri berkenaan yang sebelum itu sering bergelora terutamanya politik bumiputera Islam dan UMNO telah berjaya menyatukan politik bumiputera Islam sehingga lahirnya kestabilan politik sepanjang 30 tahun yang lalu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang juga Ketua UMNO Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata malah ramai orang bumiputera bukan Islam turut menjadi ahli UMNO kerana mereka percaya kepada keupayaan UMNO dan BN mentadbir negeri dan negara.

Menurut beliau sepanjang 30 tahun itu juga, UMNO Sabah bersama rakan-rakan-rakan komponen BN yang lain telah melakar pembangunan Sabah dengan jayanya.

“Pembangunan yang dirancang dapat dilihat di seluruh pelusuk negeri Sabah. POIC, SOGIP, SOGT, Pan Borneo, Universiti Malaysia Sabah dan banyak lagi adalah antara testimoni kejayaan perancangan UMNO Sabah dan BN.

“Dalam 30 tahun itu juga, UMNO Sabah telah melahirkan ramai pemimpin dari peringkat atas sehinggalah peringkat akar umbi. Proses membentuk dan melahirkan pemimpin pelapis sentiasa berlaku di semua peringkat,” katanya menerusi catatan di facebook.

Tambah Abdul Rahman, sejak bulan Mei 2018, kebangkitan semula UMNO Sabah sudah mula dirasai dan kebangkitan semangat parti ini dapat dipulihkan kerana semangat juang kental ratusan ribu akar umbinya yang masih kuat.
Tegasnya ribuan cawangan UMNO Sabah masih kukuh manakala sayap-sayap UMNO Sabah masih berfungsi dan kerja serta pengorbanan untuk memulihkan UMNO Sabah dipikul oleh semua pihak.
“Ketua-ketua bahagian dan pemangku ketua-ketua bahagian yang tidak “berhijrah” telah memainkan peranan yang besar menjadi “sauh tegap’ di bahagian-bahagian masing-masing.

“Berkat perjuangan pemimpin-pemimpin yang masih setia kepada UMNO Sabah, sekarang UMNO Sabah sudah berada dalam posisi yang jauh lebih baik berbanding Mei 2018.

“UMNO Sabah/BN telah memenangi pilihanraya kecil Kimanis dan turut menyumbang kepada kemenangan dalam pilihanraya negeri tahun lepas. Alhamdullilah, kini UMNO Sabah juga sudah mendapat otonomi dari UMNO Pusat,” ujarnya – UMNO Online

Berikut artikel penuh yang disiarkan menerusi facebook beliau.

30 tahun yang lalu, Sabah menempah sejarah politik besar. UMNO Sabah telah ditubuhkan di Sabah dalam keadaan politik yang tidak stabil dan dalam masa orang bumiputera terutamanya bumiputera Islam yang mahukan sebuah parti yang kuat untuk mewakil suara dan aspirasi mereka.

Kelahiran UMNO Sabah telah menstabilkan politik Sabah yang sebelum itu sering bergelora terutamanya politik bumiputera Islam. UMNO telah berjaya menyatukan politik bumiputera Islam sehingga lahirnya kestabilan politik sepanjang 30 tahun yang lalu. Malah ramai orang bumiputera bukan Islam turut menjadi ahli UMNO kerana mereka percaya kepada keupayaan UMNO/BN mentadbir negeri dan negara.

Sepanjang 30 tahun itu juga, UMNO Sabah bersama rakan-rakan komponen BN telah melakar pembangunan Sabah dengan jayanya. Pembangunan yang dirancang dapat dilihat di seluruh pelusuk negeri Sabah. POIC, SOGIP, SOGT, Pan Borneo, Universiti Malaysia Sabah dan banyak lagi adalah antara testimoni kejayaan perancangan UMNO Sabah/BN.

Dalam 30 tahun itu juga, UMNO Sabah telah melahirkan ramai pemimpin dari peringkat atas sehinggalah peringkat akar umbi. Proses membentuk dan melahirkan pemimpin pelapis sentiasa berlaku di semua peringkat.

Sememangnya UMNO Sabah sudah melalui banyak kejayaan dan kemenangan dan tidak kurang cabaran dan rintangan. Menjadi ahli UMNO adalah satu perjuangan. Ada kalanya kita berjaya dan ada masa kita gagal. Namun kegagalan bukan bererti penghujung kepada perjuangan. Kita jangan sekali-kali putus asa. Terlalu banyak jasa parti ini kepada rakyat Sabah untuk ianya dibuang begitu saja.

Sejak bulan Mei 2018, kebangkitan semula UMNO Sabah sudah mula dirasai. Kebangkitan semangat parti ini dapat dipulihkan kerana semangat juang kental ratusan ribu akar umbinya yang masih kuat. Ribuan cawangan UMNO Sabah masih kukuh. Sayap-sayap UMNO Sabah masih berfungsi.

Kerja dan pengorbanan untuk memulihkan UMNO Sabah dipikul oleh semua pihak. Ketua-ketua bahagian dan pemangku ketua-ketua bahagian yang tidak “berhijrah” telah memainkan peranan yang besar menjadi “sauh tegap’ di bahagian-bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan sebilangan Timbalan Ketua Bahagian dan Naib Ketua Bahagian serta ajk-ajk bahagian yang turut bersetia dan berkorban mempertahankan perjuangan di bahagian masing-masing. Mereka adalah hero yang tidak didendangkan.

Beberapa Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri bersama pimpinan sayap bahagian dan ahli-ahli mereka juga terus beristiqomah dalam perjuangan dalam keadaan yang amat perit dan mencabar sekali.

Tidak lupa juga dengan kepimpinan tertinggi UMNO Malaysia terutamanya Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden (termasuk Ketua Wanita UMNO Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Puteri UMNO Malaysia) yang terus menerus memberi sokongan dan tidak penat memberi dorongan.

Berkat perjuangan pemimpin-pemimpin yang masih setia kepada UMNO Sabah, sekarang UMNO Sabah sudah berada dalam posisi yang jauh lebih baik berbanding Mei 2018. UMNO Sabah/BN telah memenangi pilihanraya kecil Kimanis dan turut menyumbang kepada kemenangan dalam pilihanraya negeri tahun lepas. Alhamdullilah, kini UMNO Sabah juga sudah mendapat otonomi dari UMNO Pusat.

Terima kasih dan syabas kepada semua mereka!

Jadi apa selepas ini?

UMNO Sabah akan berdepan dengan pilihanraya parlimen yang akan diadakan bila bila masa. Fokus utama UMNO Sabah ialah untuk memenangi semua kerusi yang ditandingi. Apa pun bentuk kerjasama, itupun jika ada, mestilah berdasarkan kekuatan UMNO Sabah itu sendiri. UMNO Sabah tidak mahu memasuki pilihanraya dalam keadaan UMNO Sabah tidak ada kekuatan kendiri atau persediaan yang mantap. Atau lebih malang lagi, Umno Sabah bergantung kepada kekuatan pihak lain dalam pilihanraya parlimen nanti.

Selanjutnya UMNO Sabah mahu menyumbang sebanyak mana kerusi parlimen kepada pembentukan kerajaan pusat yang bakal ditunjangi oleh UMNO selepas PRU15.

Selama hampir 3 tahun, negara tidak stabil dan ekonomi dalam keadaan yang lemah. Pengalaman mentadbir negara sejak merdeka dengan dasar-dasar ekonomi yang mantap dan visi masa depan negara akan UMNO/BN pertaruhkan dalam pilihanraya parlimen nanti.

InsyaAllah UMNO mahu memperbaiki strateginya. UMNO yang bakal bertanding dalam PRU15 adalah UMNO yang sudah mengerti erti kekalahan dan erti kelemahan dan belajar darinya.

Dengan izin Allah, UMNO akan kembali menjadi parti tunjang kepada kerajaan pusat selepas PRU15. Pengalaman UMNO naik dan turun dalam politik menjadikan UMNO lebih matang dan dewasa. Kekalahan dalam PRU14 membuka mata UMNO bahawa strategi dan pendekatan baru untuk meraih sokongan rakyat akan dilakukan.

Kalau UMNO mampu bangkit kembali selepas Mei 2018, tidak mustahil ia akan kembali berkuasa selepas PRU15 dengan dasar mesra rakyat dan dasar mesra ekonomi.

Pendeknya, UMNO/BN akan mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia selepas PRU15 nanti.

Selamat menyambut ulangtahun ke-30 tahun kepada UMNO Sabah. Semoga Allah memberkati perjuangan kita semua demi rakyat, negeri dan negara Malaysia yang kita cintai.

Salam hormat,
DARD
Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.