Selepas 30 Tahun, UMNO Sabah “Tatap” Relevan

Tarikh 21 Februari, genaplah 30 tahun UMNO bertapak di Sabah. Serentak dengan itu sambutan minggu Ulang Tahun UMNO Sabah yang ke-30 diadakan secara sederhana namun ianya amat bermakna untuk seluruh ahlinya.

Ini kerana, UMNO Sabah yang kini dianggarkan mempunyai lebih 600 ribu orang ahlinya di seluruh bahagian di negeri terbabit meneruskan ikrar untuk ‘Tatap UMNO’ selepas parti keramat ini bertapak secara rasmi pada tahun 1991 dan melalui pelbagai cabaran untuk terus relevan hingga ke hari ini.

Tidak seperti pada awal UMNO melebarkan sayapnya ke Sabah, parti ini kurang berhadapan dengan cabaran getir seperti yang dialami selepas Pilihan Raya Umum ke-14 apabila kerajaan Barisan Nasional yang mana UMNO menjadi tunjang utama kerajaan memerintah telah kalah ditangan Pakatan Harapan.

Pada awal penubuhan UMNO di Sabah, perubahan bukan lagi satu pilihan tetapi adalah satu tuntutan, kerana rakyat di negeri ini insaf betapa ketidakstabilan dan perpecahan tidak menguntungkan sesiapa pun.

Kesedaran inilah yang membawa hasrat rakyat di Sabah dengan melihat UMNO sebagai harapan baharu menjadi wahana penyatuan rakyat, sebagaimana ia berupaya menyatukan sebahagian besar masyarakat Melayu dan diterima oleh kaum-kaum lain melalui perkongsian kuasa dalam Barisan Nasional yang dengan harapan agar melalui kesatuan rakyat itu, akan wujud kestabilan politik di Sabah dan membuka jalan untuk pembangunan pesat dari semua aspek.

Keadaan ini berubah selepas kekalahan Barisan Nasional di tangan Pakatan Harapan dan Warisan di Sabah. Mereka ini turut disokong oleh beberapa orang pemimpin dari kalangan pemimpin BN sebelum ini yang menyertai Warisan untuk membentuk kerajaan negeri selepas PRU ke-14.

Lebih dari itu, UMNO Sabah semakin tertekan apabila beberapa pemimpin parti ini di Semenajung Malaysia turut menyertai parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan sindrom tersebut telah menular ke Sabah.

Selepas peristiwa ini UMNO Sabah berhadapan dengan pelbagai krisis, dugaan, cabaran dan rintangan namun perjuangan tetap diteruskan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang diberikan amanah serta kepercayaan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengetuai UMNO Sabah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah (Ketua UMNO Sabah).

Dengan sokongan beberapa rakan-rakan yang masih setia dalam perjuangan, mereka ini terpaksa menghadam ujian getir untuk memberikan nafas baharu kepada UMNO Sabah biarpun bergerak dalam susana yang dipenuhi krisis, cabaran dan dugaan yang akhirnya melalui pengalaman itu telah menyuntik semangat untuk terus melangkah ke hadapan walau dalam keadaan sukar.

Menurut Bung, “UMNO Sabah telah melalui berbagai-bagai krisis, dugaan, cabaran, rintangan dan juga halangan lebih-lebih lagi UMNO Sabah (pemimpin negeri) dan juga parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) turut meninggalkan UMNO apabila kalah masa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14

“Yang amat menyedihkan apabila 22 orang pemimpin-pemimpin UMNO telah meninggalkan parti ini termasuk Ketua-ketua UMNO bahagian, Timbalan Ketua UMNO bahagian termasuk juga Wanita dan Pemuda turut meninggalkan parti.

“Ketika itu UMNO Sabah telah dianggap sudah tidak wujud dan saya telah diberi amanah oleh Yang Berhormat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memimpin UMNO Sabah,” katanya ketika mengulas sambutan 30 tahun UMNO di Sabah.

Menurut Bung dalam kesukaran bersama rakan-rakan termasuk kepimpinan di seluruh bahagian yang masih berperinsip dan setia dalam perjuangan, maka penyusunan dibuat semula hampir di seluruh bahagian UMNO di Sabah.

“Bersama rakan-rakan saya terpaksa turun padang menjelajah ke seluruh bahagian UMNO di Sabah dan dari penerangan, perjumpaan demi perjumpaan tersebut saya berkeyakinan, akar umbi UMNO Sabah tetap setia walaupun ramai pemimpin melompat parti.

“Jangkaan saya tidak salah yang melompat adalah pemimpin tetapi ahli-ahli UMNO tetap terus bersama UMNO,” katanya

Bung mengakui walaupun kepakaran hanya sedikit ilmu, tetapi beliau berusaha turun ke bawah untuk memastikan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi masih bersama-sama dengan UMNO dan realitinya tidak ada satu bahagian UMNO di Sabah dibubarkan.

Di bawah kepimpinan Bung sebagai Ketua UMNO Sabah cabaran serta rintingan telah dilalui dengan kecekalan disertai dengan prinsip perjuangan yang jitu.

Ujian pertama Bung sebagai nahkoda UMNO Sabah ialah pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis apabila Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2019 memutuskan kemenangan Datuk Anifah Aman dikerusi Parlimen Kimanis pada PRU-14 sebagai tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

UMNO Sabah telah meletakan Ketua UMNO Bahagian Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dicabar oleh Ketua Bahagian Warisan Kimanis, Datuk Karim Bujang dalam perlawan satu lawan satu.

Bagi Bung yang juga menjadi pengarah gerakan PRK Parlimen Kimanis, PRK kali ini merupakan cabaran dan satu ujian yang amat mencabar bagi dirinya bagi untuk memenangi PRK ini.

“UMNO Sabah telah meletakkan berbagai-bagai hala tuju, namun cabaran yang paling berdebar apabila membuat keputusan untuk bertanding di PRK Kimanis. Itulah cabaran terbesar dan pada ketika itu tidak ada mana satu pun pemimpin-pemimpin UMNO yang menyatakan bahawa UMNO Sabah akan menang,” katanya.

PRK Parlimen Kimanis yang lebih dikenali sebagai ‘Langkah Kimanis’ merupakan ujian pertama tentang penerimaan rakyat Sabah khususnya di kawasan Kimanis kepada Barisan Nasional dan UMNO. Sekiranya BN/UMNO gagal memenangi PRK tersebut ianya merupakan satu petunjuk prestasi sokongan rakyat kepada BN/UMNO semakin merundum.

“Perjuangan perlu ada keyakinan dan kepercayaan. Saya tahu kita berjuang di bawah berbanding dengan Warisan yang menjadi sebuah kerajaan negeri yang mempunyai bantuan kewangan yang kukuh.

“UMNO Sabah berjaya menyakinkan rakyat kebetulan Pakatan Harapan dan Warisan tidak menepati inspirasi dan keyakinan rakyat. Itu adalah peluang yang terbesar yang ada untuk menumbangkan mereka di Kimanis,” tegas Bung.

Majoriti yang diperoleh Mohamad Alamin menewaskan Karim Bujang dengan majoriti 2,029 undi adalah besar berbanding majoriti yang diperoleh oleh calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Anifah Aman iaitu 156 undi atau pertambahan 1,873 undi.

Kejayaan UMNO/BN di PRK Parlimen Kimanis bukan sahaja kejayaan manis bagi UMNO namun merupakan syarat pertama UMNO lulus untuk meneruskan perjuangan yang turut menafikan presepsi UMNO dan BN di Sabah sebelum ini nazak. Sebaliknya UMNO semakin hari semakin pulih dan kuat malah semangat ini telah di bawa ke Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 pada 26 September 2020.

PRN ke-16 diadakan selepas Ketua Menteri ketika itu Datuk Seri Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah berikutan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa telah memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu.

Bagi UMNO dan Bung sendiri sebagai Pengerusi BN Sabah, PRN kali ini merupakan ujian yang lebih besar ruang lingkupnya kerana melibatkan 73 DUN Sabah dengan wujudnya persempadan baharu.

PRN ini juga akan menzahirkan secara keseluruhan sokongan rakyat Sabah kepada BN khususnya bagi kerusi kerusi yang ditandingi oleh UMNO. Dari 73 DUN Sabah, UMNO bertanding di 31 buah DUN dan dari jumlah tersebut UMNO/BN memenangi 14 kerusi.

Walaupun BN/UMNO boleh memenangi lebih dari 14 kerusi pada PRN kali ini, namun beberapa faktor dilihat menjadi halangan antaranya pertembungan sesama sendiri dan pemilihan calon yang tidak memenuhi kriteria sebagaimana yang diinginkan oleh rakyat di peringkat akar umbi. Ini menyebabkan sasaran UMNO untuk memenangi keseluruhan kerusi yang ditandingi gagal direalisasikan.

Menurut Bung walaupun kejayaan ini agak kecil namun ianya merupakan petunjuk positif yang BN/UMNO masih diterima oleh rakyat Sabah sekali gus kejayaan tersebut merupakan penyumbang utama kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS)

“Keputusan PRN kali ini telah menjadi satu lonjakan besar dalam keberdayaan GRS untuk menguasai politik Sabah sehingga kami dapat membentuk kerajaan negeri yang baharu” katanya .

Sambil melahirkan rasa syukur dan gembira kerana berkesempatan melihat kesan ketara kehadiran UMNO di Sabah, Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata kekuatan BN/UMNO di Sabah disebabkan dukungan rakyat serta kesepaduan anggotanya yang didasari semangat juang padu.

Mengenai masa depan UMNO Sabah agar terus kukuh dan relevan, Bung menegaskan bahawa UMNO tidak boleh bergantung kepada jumlah kuantiti anggotanya semata-mata bahkan sama penting adalah nilai dan kualiti setiap anggota-anggota UMNO di semua peringkat – cawangan, bahagian dan sayap-sayap parti perlu diperkasakan.

Justeru, Bung yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, sempena sambutan 30 tahun UMNO melebarkan sayapnya ke negeri Sabah, beliau mengingatkan kepimpinan dan anggota parti agar sentiasa berada di atas landasan perjuangan parti yang berpaksikan kepentingan rakyat.

“Hala tuju kita perlu berpaksikan kepada landasan yang tepat iaitu gerak kerja yang berpaksikan kepentingan rakyat. Destinasi kita adalah rakyat kerana kekuatan dan prestasi kita akhirnya ditentukan dan dinilai melalui tahap sokongan rakyat dalam pilihan raya. Jangan lari daripada landasan,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Jaafar Abd Wahid
Penulis ialah Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Ketua Menteri /Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.