Kebebasan Akhbar Mesti Dipertahankan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 20 Feb – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kebebasan akhbar dan bersuara ‘serves a high public purpose’ Malaysia mesti menuju ke arah masyarakat madani yang bebas bersuara secara matang, progresif dan jujur.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), hanya dengan akhbar yang bebas dan bertanggungjawab, ketelusan dalam ekonomi dan pasaran akan berlaku.

Malah tambahnya kerajaan akan menjadi lebih ‘accountable’, segala salah guna kuasa dan kejelikan moral akan terbongkar selain inspirasi tercetus melalui cerita kemanusiaan yang mengkagumkan.

“Kehidupan demokrasi di Malaysia bermakna kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara mestilah dipertahankan.

“Persuratkhabaran bukan sekadar menyebarkan berita dan maklumat sahaja. Tetapi yang jauh lebih penting, ia menyediakan ruang untuk sumbangsaran, kritikan dan semak imbang dalam setiap hal bermasyarakat dan bernegara,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kata Mohamad lagi ia instrumen penting membantu menyuarakan nurani masyarakat, terutama mereka yang tertindas dan tertinggal atau mereka yang sekadar ingin memberikan pandangan alternatif atau idea baru.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.