Harap Polisi Tidak Ditukar Tergesa-Gesa, Perlu Perancangan Rapi Selepas Ini – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 20 FEB – Pemuda UMNO hari ini berharap Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dapat membuat perancangan yang teliti selepas ini berhubung soal pendidikan terutamanya melibatkan sesuatu polisi.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata banyak kali keputusan dilihat dibuat secara tergesa-gesa yang akhirnya menyusahkan masyarakat umum.

“Harap selepas ini dapat rancang sesuatu polisi dengan rapi dan teliti sebelum buat apa-apa keputusan. Sudah banyak kali buat keputusan polisi secara flip-flop dan dilihat tergesa-gesa hingga menyusahkan rakyat.

“Umumnya bukan rakyat tidak setuju sekolah dibuka. Ya, banyak boleh selesaikan isu dan kekangan yang dihadapi majoriti rakyat yang tiada akses kepada internet yang sempurna, kekangan soal gajet, tablet atau alat peranti jika PdPR hendak diteruskan.

“Rakyat juga keliru dan menerima mesej yang salah apabila dibuat pelancaran DidikTV untuk memperkasa PdPR? Diambil alih ‘Takeover’ saluran NTV7 untuk buat TV pendidikan,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini hari ini.

Tambah Asyraf lagi rakyat bertanggapan PdPR akan lebih lama lagi, menyebabkan ramai yang bergolak-gadai dengan segala cara termasuk berhutang dengan AhLong untuk membeli gadget buat pendidikan anak-anak.

“Ingatlah! Bukan semua rakyat yang senang ketika ini dengan ramai yang dibuang kerja, hilang punca pendapatan, malah tiada sumber pendapatan tambahan dalam suasana pandemik ketika ini.

“Yang peliknya kenapa tergesa-gesa hendak dibuka sekolah rendah 1 Mac sedangkan PKP pun hanya berakhir pada 4 Mac? Dengar kata perkara polisi sebesar ini tidakpun dibincangkan di dalam kabinet hingga ramai Menteri-Menteri sendiri terkejut dengan pengumuman semalam, betulkah?,” ujarnya. – UMNO Online.