UMNO/BN Pilihan Terbaik Rakyat, ‘Track Record’ Mentadbir Bawa Negara Stabil

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Situasi politik yang tidak menentu menjadikan UMNO satu-satunya pilihan terbaik yang ada untuk dijadikan sandaran rakyat dalam membela nasib mereka.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan berkata, berdasarkan pengalaman UMNO yang menunjangi Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir negara selama 60 tahun menjadi saksi kepada keutuhan parti ini untuk dijadikan sandaran dan membawa kestabilan kepada negara.

“Ketika ini kita bertindak untuk meyakinkan rakyat bahawasanya dalam kedinamikan keadaan politik sekarang UMNO masih lagi parti yang terbaik untuk dibuat sebagai pilihan oleh rakyat.

“UMNO ini memang daripada dahulu lagi setia dan tetap teguh kepada pendirian asal parti serta tidak pernah mengabaikan rakyat.

“Kita juga adalah satu-satunya parti yang ada pengalaman ‘track record’ mentadbir negara lebih baik daripada parti lain,” katanya menerusi PUL Live bertajuk ‘Emosi Dan Pesepsi’ di Facebook, malam tadi.

Beliau menjelaskan bahawa kekuatan UMNO adalah kerana mempunyai ahli akar umbi yang menjadi tunjang kepada parti untuk bersama-sama pemimpin dalam membantu rakyat keseluruhan.

“UMNO adalah parti yang saya kira mempunyai satu rangkaian yang sampai ke bawah iaitu ke akar umbi mampu memberikan khidmat terbaik untuk rakyat. Dengan struktur yang tersusun maka keadaan inilah yang akan membawa kepada kestabilan,” ujarnya.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia turut menjelaskan bahawa kestabilan yang dihadapi negara pada suatu ketika sebelum ini terjadi disebabkan pentadbiran kerajaan BN yang kukuh.

“Ianya hanya wujud ketika negara ditadbir oleh pemimpin UMNO… adakah perkara ini terjadi secara kebetulan ataupun perkara ini disebabkan UMNO itu sendiri… tetapi sebab utama ada sesuatu dalam DNA UMNO ini di samping pengalamannya dalam tadbir urus sebelum ini.

“Jadi hujah-hujah seperti inilah yang perlu kita sampaikan supaya apa sahaja ‘landing’ apa sahaja keadaan yang terjadi kita boleh sampaikan supaya UMNO/BN menjadi pilihan utama kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.