Permudahkan i-Sinar, Jangan Persulitkan… 8 Mac Keputusan Lambat – Asyraf

KUALA LUMPUR, 19 Feb – Semalam, Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan kenyataan dengan memaklumkan bahawa pencarum berusia di bawah 55 tahun yang telah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac, 2021.

Sehubungan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bertegas agar permudahkan pengelurannya tanpa menunggu hingga 8 Mac.

“Permudahkan jangan persulitkan. Nak tunggu 8 Mac ini kelulusan i-Sinar untuk buat keputusan lambat. Itu baru keputusan, belum lagi penyaluran. Itu pun tak tahu lagi bila.

“Masa adalah sangat berharga lebih-lebih lagi ketika kebanyakan rakyat ketika ini dihimpit dengan tekanan ekonomi yang luar biasa akibat daripada impak negatif pandemik COVID-19,” ujarnya yang mengulas berkaitan hal tersebut.

Terdahulu, Pergerakan Pemuda UMNO konsisten dalam gesaan agar kerajaan mempermudahkan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat selain mencadangkan agar moratorium diberikan.

Jelas Asyraf, rakyat hari ini terkesan ekoran pandemik COVID-19 dan ramai yang mengeluh.

“Jadi masa sangat berharga walaupun satu atau dua hari. Kalau tidak rakyat tidak akan mengeluh. Rakyat mengeluh ini bukan retorik, ini memang benar-benar apa yang rakyat perlukan,” katanya lagi.

Dilaporkan, pada 11 Februari lalu kerajaan telah mengumumkan mengenai pemansuhan syarat i-Sinar KWSP bagi mempermudahkan ahli membuat pengeluaran dari simpanan akaun satu. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.