Parlimen Wajar Diteruskan… Bahas Kepentingan Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 19 Feb – UMNO berpandangan persidangan Dewan Rakyat sewajarnya perlu segera diteruskan bagi mengambil kira suara dan pandangan rakyat dalam setiap dasar atau keputusan yang dibuat melalui ahli-ahli Parlimen.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Parlimen merupakan institusi penting negara yang menjadi forum untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

“Parlimen mempunyai kedudukan paling utama dalam sistem demokrasi. Kita tahu Parlimen merupakan badan perundangan Persekutuan. Memeriksa dasar-dasar kerajaan, meluluskan perbelanjaan dan dasar-dasar cukai negara.

“Tanpa sebarang usaha dilakukan supaya fungsi Parlimen dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang dilakukan negara demokrasi lain,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau turut bersetuju dengan pandangan disuarakan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menzahirkan rasa bimbang terhadap fungsi Parlimen yang digantung secara total berikutan proklamasi darurat.

“Pada pandangan saya, beliau berhak menyuarakan kebimbangan itu memandangkan beliau merupakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Yang di-Pertua Dewan sebagai Ketua Parlimen dan Jurucakap kepada Dewan. Sebagai ‘Presiding Officer’ dan Jurucakap Parlimen dalam hubungan antarabangsa (Diplomatik peringkat kedua),” ujarnya.

Kata Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), beliau turut bersetuju dengan pandangan ahli Parlimen Pengerang berkenaan agar satu Kabinet Khas Darurat dibentuk.

“Justeru, saya berfikir cadangan Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu supaya Kabinet Khas Darurat dibentuk segera ada kewajarannya.

“Kabinet khas ini akan berfungsi dengan kuasa yang terhad sehingga proklamasi darurat berakhir bagi menjaga kepentingan negara dan rakyat.

“Paling utama adalah urusan pentadbiran negara memerlukan semak dan imbang,” katanya.

Baru-baru ini Azalina dalam sepucuk surat kepada Peguam Negara (AG), Tan Sri Idrus Harun meminta agar mempertimbangkan penggantungan tugas-tugas Jemaah Menteri dan digantikan dengan pelantikan Kabinet Darurat Khas yang terdiri daripada kementerian-kementerian yang relevan.

Beliau turut mempersoal kewajaran Parlimen digantung sedangkan masih ada beberapa pilihan yang boleh dilakukan bagi memastikan persidangan parlimen dapat dilaksanakan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.