Bukan Hanya Ekonomi dan Negara… Rakyat Juga Perlu Diselamatkan – Zahid

KUALA LUMPUR, 18 Feb – “Bukan hanya ekonomi dan negara perlu diselamatkan bahkan rakyat juga.”

Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan situasi semasa apabila beliau mendengar berita menerusi radio bahawa ada ibu bapa meminjam ‘Ahlong’ untuk beli komputer riba bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Soal beliau, adakah pihak bertanggungjawab terlepas pandang mengenai nasib keluarga sebegini atau apa yang banyak diumumkan sekadar fatamorgana?

“Sakit hati dengar berita radio pagi tadi ada ibu bapa meminjam ah long untuk beli komputer riba bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Sakit hati bukan disebabkan perbuatan ibu bapa terbabit. Kita simpati dengan keadaan mereka. Yang buat sakit hati mengapa situasi ini boleh terjadi.

“Jika melibatkan pinjaman lintah darat untuk hal perniagaan dari dulu kerap didengari. Itu permasalahan yang kita sejak dulu berusaha tangani dari semasa ke semasa, tetapi ini melibatkan perkara paling asas iaitu pendidikan.”

Jelas beliau, pendidikan yang tidak sepatutnya menyusahkan kini seolah-olah satu beban kewangan besar kepada ibu bapa.

“Lebih menyakitkan hati selepas pelbagai pengumuman demi pengumuman mengenai bantuan untuk rakyat dibuat, tetapi permasalahan `sebasic’ ini yang berlaku.”

Dalam hal ini, Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) cuba meletakkan diri berada dalam situasi sukar ibu bapa berkenaan.

“Mungkinkah mereka kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji ketika ekonomi tenat?
Atau mungkinkah ibu bapa terbabit memiliki ramai anak yang bersekolah? Mahu tidak mahu ibu bapa ini perlu juga menyediakan tambahan gajet.

“Dalam situasi sukar dan kekurangan wang, ibu bapa terbabit meminjam daripada ahlong sedangkan mereka tahu kesannya amat besar.

“Meminjam dalam jumlah yang kecil tetapi berdepan kadar faedah bulanan yang tinggi. Akhirnya menjerat diri dalam kancah yang membahayakan.”

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkuasa memandang serius perkara seperti ini kerana bimbang masalah tersebut akan memudaratkan dan menimbulkan masalah yang lebih besar selepas ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.