Biarlah Sistem Pendidikan Jadi Zon Bebas Berpolitik – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 18 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menganggap cadangan untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan sebagai tidak relevan kerana ianya akan melibatkan campur tangan politik.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ini kerana cadangan yang dikemukakan bekas menteri pendidikan, Dr Maszlee Malik sebagai suatu yang akan menambah kekalutan dan haru-biru sistem pendidikan negara.

“Pemuda UMNO berpendirian tidak perlu keterlibatan orang politik jauh sekali parti-parti politik yang hanya akan mencetuskan polemik yang tidak berkesudahan.

“Biarlah pendidikan menjadi zon bebas parti dan melangkaui ideologi politik demi masa depan pewaris negara akan datang.

“Setuju dengan pandangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional menolak cadangan yang dikemukakan bekas menteri pendidikan, Maszlee Malik untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pedidikan Kebangsaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menurutnya, perkara yang lebih utama ketika ini adalah Kementerian Pendidikan memperkasakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada dengan menampilkan tokoh-tokoh pendidikan, ahli akademik serta bekas-bekas guru cemerlang.

“Majlis ini boleh digemblengkan untuk memikir dan mengkaji pendekatan dan model terbaik untuk meningkatkan kecemerlangan dan mengangkat martabat pendidikan negara terutamanya dalam era pandemik kini,” ujarnya.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Simpang Renggam itu memberikan beberapa cadangan untuk penambaikan sistem pendidikan negara termasuk untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar bidang pendidikan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib