Undi 18 : UMNO Perlu Optimis Sokongan Orang Muda

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata jika UMNO bersedia mendepani pembaharuan dalam sistem politik negara ini terutama menarik sokongan golongan muda populariti UMNO tidak perlu berpaut kepada mana-mana perikatan yang lain.

Perkara itu tegasnya boleh dicapai sekiranya UMNO boleh tunjukkan bahawa UMNO berani berdepan pengundi muda termasuk yang berumur 18 tahun.

Tindakan ini juga tambah beliau merupakan sebagai salah satu persediaan parti untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apatah lagi jika undi 18 tahun ini akan dilaksanakan buat pertama kali.

“Saya yakin (kekuatan parti) jika UMNO boleh tunjukkan bahawa tidak takut kepada undi 18 tapi lebih bersedia untuk menang undi muda dan bersedia untuk menghormati suara anak muda,” katanya.

Tambah beliau, parti juga perlu bersedia untuk mempertimbangkan agar menonjolkan muka-muka baharu sebagai calon pada PRU15 sebagai bukti parti ini terbuka dengan kepimpinan yang lebih idealistik.

“Perlu ada pertimbangan bagaimana hendak menunjukkan muka-muka baharu boleh bersama dengan muka-muka yang lebih berpengalaman dalam PRU15,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menerusi program Wacana Sinar bertajuk ‘Tanpa PN, UMNO Sebatang Kara?’ yang turut menampilkan Ketua Penerangan PPBM, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Penganalisis Politik, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian secara langsung melalui Facebook Sinar Harian, malam tadi.

Justeru jelas beliau UMNO perlu optimis dan berani berhadapan dengan golongan muda dengan tawaran-tawaran baru yang menarik terutama soal kebajikan kelompok ini pada masa hadapan apatah lagi dalam keadaan ekonomi yang suram berikutan pandemik COVID-19 ini.

Untuk rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.

Dengan kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. – UMNO ONLINE

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.