PH Laung Konon Bersih… Tapi Bekas Pegawai Menteri Ditahan Kes Rasuah – Zahida

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mempersoal kenyataan-kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa pemimpin lain sebelum ini yang sering melaungkan kerajaan ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bebas daripada penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata ini kerana seorang pegawai kanan kepada bekas menteri ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam berhubung siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit yang turut melibatkan kementerian tertentu semasa pentadbiran PH.

“Kerajaan PH bersih? Itulah laungan Tun Mahathir dan sekutu-sekutu mereka dalam kerajaan PH yang kononnya mereka bersih daripada rasuah dan salah laku dalam pentadbiran negara.

“Semalam kita dikejutkan dengan laporan daripada SPRM bahawa Pegawai Khas kepada bekas Menteri Air dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar telah ditahan disyaki rasuah. Rampasan termasuk wang tunai bernilai RM1.2 juta dan sitaan akaun syarikat-syarikat terlibat sebanyak RM77 juta!

“Sebuah kereta mewah yang dahulunya digunakan sebagai kereta resmi oleh Dr Xavier turut dirampas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Zahida turut berharap agar lebih banyak lagi kertas siasatan dibuka oleh SPRM untuk memastikan individu yang terlibat dengan penyalahgunaan kuasa menerima hukuman yang setimpal.

“Ini baru ‘tip of the iceberg’ dan sepatutnya banyak lagi penangkapan yang boleh dilakukan oleh SPRM. Kita pun berharap begitu.

“Segala penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk rasuah harus dibenteras didalam kita menuju alaf baru Malaysia,’ ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.