Mengundi Hak Setiap Warganegara, Bersama Perkasa Anak Muda – Reezal

KUALA LUMPUR, 17 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata mengundi adalah hak setiap warganegara dan beliau memberi komitmen akan terus bersama-sama dalam usaha memperkasa anak muda.

“Pindaan Perlembagaan untuk menurunkan umur mengundi ke 18 tahun merupakan satu keputusan bipartisan yang monumental. Saya juga antara 211 orang Ahli Parlimen yang mengundi,” ujarnya yang juga Menteri Belia dan Sukan dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahli Parlimen Kepala Batas itu, beliau juga telah berinteraksi dengan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan turut meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membentangkan perencanaan usaha ini.

Sebagai rekod, pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun dengan mendapat lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan.

Begitu juga pada 25 Julai tahun yang sama, ia diluluskan di Dewan Negara dengan majoriti dua pertiga.

Dengan kelulusan tersebut, pilihan raya akan datang akan menyaksikan pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding umur 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.