Darurat: Pihak Asing Tak Perlu Campur Tangan Hal Negara – Ahmad Zahid


KUALA LUMPUR, 17 Feb – Campur tangan pihak luar yang menggesa Parlimen kembali bersidang tidak sepatutnya berlaku kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malah berkata tindakan yang dilakukan oleh 90 ahli Parlimen dari negara ASEAN yang mendakwa Proklamasi Darurat Malaysia tidak menepati piawaian antarabangsa tidak wajar.

“Pendirian saya berhubung perkara ini masih sama iaitu Malaysia merupakan sebuah negara yang berdaulat. Sebagai sebuah negara berdaulat, tidak wajar untuk mana-mana pihak luar mencampuri urusan dalaman Malaysia.

“Barisan Nasional sejak dulu konsisten menolak campur tangan kuasa asing dalam urusan pentadbiran dan politik negara. Pihak luar yang dimaksudkan tidak terhad kepada kerajaan atau pimpinan negara lain, malah badan bukan kerajaan dan media-media asing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk bagaimanapun berkata tindakan itu juga mungkin melibatkan konteks yang lebih sejagat iaitu berkenaan demokrasi di ASEAN.

“Kita masih mengingati tujuan dan prinsip diabadikan dalam Piagam ASEAN yang turut dipersetujui Malaysia iaitu kepatuhan negara anggota terhadap demokrasi.

“Jika itu ‘concern’ seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN terbabit, saya beranggapan kerajaan Malaysia tidak boleh ambil mudah berhubung desakan itu.

“Kita bimbang isu ini bukan sahaja boleh memberi kesan kepada hubungan bilateral Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN, malah memberi tempias kepada ekonomi Malaysia di rantau ini.

Namun, Ahmad Zahid turut menyeru pihak luar untuk tidak terlalu fokus berkenaan demokrasi berparlimen di Malaysia sedangkan ketika ini negara anggota ASEAN yang lain berdepan kekecauan yang semakin meruncing.

“Cumanya saya berharap jika boleh seramai 90 Ahli Parlimen negara ASEAN terbabit jangan hanya tertumpu kepada persoalan demokrasi di Malaysia.

“Sedangkan ada negara ASEAN lain turut bergelut dengan isu demokrasi selepas berlaku rampasan kuasa oleh junta tentera. Sila ambil maklum juga,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.