Applikasi Kontroversi Sugarbook… Runtuhkan Akhlak – UMNOsiswi

KUALA LUMPUR, 17 Feb – UMNOsiswi Malaysia menyokong tindakan serius dilakukan bagi menyekat akses laman web dan aplikasi kontroversi Sugarbook.

Ketuanya, Nur Syareeza Abdullah berkata ini kerana aplikasi tersebut secara jelas telah melanggar budaya dan norma masyarakat di negara ini yang majoritinya beragama Islam.

“UMNOsiswa akan terus mengambil berat isu ini kerana ianya bertentangan dengan budaya masyarakat Malaysia yang penuh dengan adab dan tatasusila.

“Selari dengan Rukun Negara Malaysia yang pertama ‘Kepercayaan Kepada Tuhan’ saya percaya budaya ‘sugardaddy’ ini adalah satu kesalahan dalam mana-mana anutan agama terutamanya agama Islam,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambah Syareeza selaras dengan referendum yang dihantar ke Kementerian Pengajian Tinggi baru-baru ini, Mahasiswa UMNO menyokong usaha membanteras isu ini yang berlaku dalam kalangan mahasiswa-mahasiswi di Institusi Pengajian Tinggi.

“Oleh itu, saya dan juga barisan mahasiswa yang lain akan terus berdiri dan bersama pihak bertanggungjawab dalam menangani isu ini serta menyokong usaha mengharamkan Sugarbook Malaysia dalam bentuk apa cara sekalipun,” ujarnya.

Baru-baru ini, media melaporkan bahawa Malaysia diletakkan pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia di belakang India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan sugar daddy paling ramai melalui aplikasi Sugarbook, yang menyediakan platform untuk mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Laporan itu juga mendakwa golongan pelajar dan graduan didakwa menduduki tangga pertama paling ramai menjadi sugar baby, diikuti usahawan, jururawat, guru, peguam, pelayan, pembantu peribadi, jurusolek, model dan ahli farmasi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.