Pertikai Pelantikan Jamil Khir Pengerusi Perhebat : Rakyat Tidak Lupa Tohmahan PH – Pemuda UMNO Kedah

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Pemuda UMNO Kedah melihat kenyataan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berhubung perlantikan Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai Pengerusi Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) melibatkan tuduhan lapuk yang diulang siar tanpa sebarang bukti yang kukuh.

Ketuanya Mohamad Fadzil Zolkipli berkata rakyat sudah muak malah mungkin tidak lupa dengan pelbagai tuduhan, pembohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menurut beliau pada 2018 Jamil Khir telah pun berjaya membatalkan saman yang difailkan oleh Yayasan Pembangunan Anak Yatim/Miskin (PEMANGKIN) berhubung dakwaan salah laku tersebut dan Mahkamah ketika itu mendapati pernyataan tuntutan tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah dan sebaliknya merupakan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Mahkamah kemudiannya memerintahkan PEMANGKIN supaya membayar kos sebanyak RM2,000 kepada Datuk Seri Jamil. Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, kita melihat tiada sebarang tindakan mahkamah diambil terhadap Datuk Seri Jamil. Sebaliknya satu kes melibatkan satu dakwaan salah guna wang YAPEIM, memetik jawapan Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Perdana Menteri ketika itu berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada keterangan cukup bagi mengambil tindakan lanjut dalam kes tersebut. Jawapan ini ketika beliau menjawab soalan diajukan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) di dalam Dewan Rakyat pada 5 Julai 2019.

“Berkenaan tuduhan Nik Nazmi berkaitan Tabung Haji (TH) pula, kita perlu lihat realiti sebenar kedudukan kewangan Tabung Haji adalah lebih kukuh ketika ditadbir di bawah kerajaan Barisan Nasional berbanding ketika di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi bertahun-tahun TH membayar Hibah yang tinggi malah tiada keperluan langsung untuk di’bail-out’ dan aset-aset TH Haji tidak pernah dilelong sepertimana ketika pentadbiran kerajaan PH.

Tambahnya laporan Kewangan TH 2017 diluluskan oleh Ketua Audit Negara menunjukkan kelebihan aset berbanding liabiliti dan Hibah TH ketika sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pula  yang majoritinya melebihi 6%, jelas lebih tinggi berbanding ketika pentadbiran PH.

“2019 – 3.05%, 2018 – 1.25%, 2017 – 6.25%, 2016 – 5.75%, 2015 – 8%, 2014 – 8.25%, 2013 – 8% dan 2012 – 8%.  Walaupun kita lihat bermacam tuduhan dilemparkan oleh PH ketika itu, namun tiada pendakwaan melibatkan kes Tabung Haji dibuat.

“Malah Menteri Hal Ehwal Agama ketika itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, tidak berani pun mengusulkan supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibuat. Ketiadaan tindakan mahkamah terhadap Datuk Seri Jamil sendiri telah membuktikan bahawa beliau adalah bersih daripada apa-apa tuduhan yang dilemparkan.

“Saya lihat tuduhan daripada pemimpin-pemimpin PH tidak lagi boleh diambil pada ‘face value’ kerana PH sendiri secara jelasnya terpalit dengan tuduhan penipuan, fitnah dan pembohongan,” jelasnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas