Perkasakan BN, Kukuhkan Kerjasama Dengan Pihak Yang Ikhlas Jadi Hala Tuju – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 16 Feb – “Ada yang resah dan bertanya UMNO seolah-olah tiada hala tuju. Apa yang Presiden UMNO lakukan? Ke mana UMNO mahu dikemudi?

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau memahami keresahan yang timbul itu.

“Justeru hari ini saya beri jaminan bahawa UMNO ada hala tuju yang jelas. Hala tuju UMNO paling utama ketika ini adalah memperkasakan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15).

“Kedua memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN,” ujarnya dalam satu catatan di Facebook pagi ini.

Tambah Pengerusi BN itu, semalam juga beliau menjawab di Facebooknya mengenai status Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019 jika ada yang masih tertanya-tanya.

Begitu juga katanya, beliau memahami hala tuju sering dikaitkan dengan strategi.

“Sekali lagi saya beri jaminan UMNO ada strategi. Cumanya ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang UMNO sedang dan akan lakukan.

“Strategi UMNO tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana.

“Menelusuri senario semasa yang disesuaikan berdasarkan analisis SWOT dan kehendak akar umbi tanpa mengorbankan agenda perjuangan,” tambahnya.

Seterusnya ulas Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, barisan pimpinan UMNO mempunyai strategi yang terbaik untuk parti, para ahlinya dan rakyat keseluruhan.

“Tetapi agak menghairankan apabila anti-UMNO yang seolah-olah paling kecewa dan hari-hari marah kerana UMNO kononnya tiada hala tuju.

“Hari-hari membangkitkan perkara itu di media sosial. Apakah muslihatnya saya fikir saudara-saudari ada jawapannya,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.