Kenyataan Tun Daim UMNO Sarat Dengan ‘Warlord’ Timbulkan Tanda Tanya

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Kenyataan veteran politik tanah air, Tun Daim Zainudin bahawa UMNO ‘sarat’ dengan ‘warlord’ bukan sahaja menimbulkan seribu satu persoalan malah turut menarik Ketua UMNO Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad dalam memperkatakan perkara tersebut.

Bagi Shahrir beliau sendiri tertanya-tanya siapakah ‘warlord’ dalam parti berkenaan dan untuk menjadi ‘warlord’ seperti yang diperkatakan oleh Tun Daim, ianya mestilah berduit dan segala-galanya bergantung kepada wang.

Beliau kemudiannya secara sinis mengatakan jika kalau tak sama kaya seperti Tun Daim, hendaklah mempunyai dana yang boleh membiayai penyokong-penyokong tetap dan tegar dan kegiatan yang memperlihatkan kehadiran diri sendiri sebagai tokoh di kawasan sendiri.

“Duit semuanya. Lebih lagi dalam keadaan sebagai parti yang telah kalah dan duduk tepi dalam kerajaan orang lain, bukan kita punya. Kalau kaya macam Tun Daim, bolehlah. Kawan-kawan pun dari orang yang kaya raya. Duit tak habis makan, banyak yang boleh dibagi-bagikan. Tapi, tetap nak hidupkan narratif UMNO ada ramai ‘warlord’ dan itu kononnya, penyakit dalaman UMNO,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Kenyatan penuh beliau sepertimana berikut.

UMNO “sarat dengan ‘warlord'”?

Tertanya juga, siapa ‘warlord’ dalam UMNO?

Nak jadi ‘warlord’ kot mana, mestilah berduit. Kalau tak sama kaya seperti Tun Daim, hendaklah mempunyai dana yang bolih membiayai penyokong-penyokong tetap dan tegar dan kegiatan yang memperlihatkan kehadiran diri sendiri sebagai tokoh di kawasan sendiri.

Duit semuanya. Lebih lagi dalam keadaan sebagai parti yang telah kalah dan duduk tepi dalam kerajaan orang lain, bukan kita punya.

Kalau kaya macam Tun Daim, bolihlah. Kawan2 pun dari orang yang kaya raya. Duit tak habis makan, banyak yang bolih dibagi-bagikan.

Tapi, tetap nak hidupkan naratif UMNO ada ramai ‘warlord’ dan itu kononnya, penyakit dalaman UMNO.

Memang ada masalah dalaman bagi UMNO. Itu tidak dinafikan. Tapi ramai mana yang ‘warlord’ dan ikut cakap Tun Daim, bersikap ‘delusional’, iaitu tidak terima realiti atau masih berlagak macam UMNO masih pemerintah.

Masalah dalaman pun kerana adanya pemimpin yang mengumpul ‘geng’. Yang diterima sebagai ‘geng’ pun yang sependapat dan menyokong. Ditaja untuk agenda sendiri. Sampai sanggup sokong secara terbuka Tun Mahathir sehingga akhir hayat parlimen ke-14. Dulu-dulu lah.

Ada duit tapi buat ‘think tank’ untuk sendiri bukan untuk parti.

Namun begitu, tak ramai mereka ini.

Masih ramai lagi pemimpin UMNO yang bergerak tanpa kewangan. Hanya dengan semangat perjuangan dan sokongan akar umbi. Benar-benar berjuang sebagai satu parti, masih kuat semangat untuk kembalikan UMNO dan BN sebagai pilihan rakyat untuk menerajui negara.

Lebih baik dari PPBM, PKR dan DAP. Atau pun Pejuang itu sendiri.

Tapi Tun Daim tak henti nak buat naratif UMNO ramainya ‘warlord’ dan bersikap ‘delusional’, iaitu tak terima realiti.

UMNO dah terima ‘realiti’ yang kita bukan parti pemerintah tapi tetap mempunyai kekuatan berasas kepada kepimpinan yang berpengalaman, kebijaksanaan pendekatan dan kekuatan akar umbi.

Bukan kekuatan palsu dari kehadiran ‘warlord’.

#BNmemBinaNegara

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.