Pendirian UMNO Selaras Suara Akar Umbi, Teruskan Kerjasama Dengan PAS, Perkasakan BN

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa pendirian UMNO selaras dengan perkembangan terbaru majoriti akar umbi parti pada mesyuarat bahagian iaitu menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pada PRU15.

Maklumnya, berkaitan kedudukan Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019, hubungan masih baik.

“Saya tahu ramai tertanya-tanya mengenai status terkini MN yang dipelopori UMNO dan PAS pada tahun 2019. Ia disebabkan PAS secara rasmi telah menyertai Perikatan Nasional (PN) yang diasaskan PPBM, manakala UMNO sebaliknya.”

Ini kerana katanya, UMNO sekadar menyokong pembentukan kerajaan PN demi kestabilan pentadbiran negara selepas Perdana Menteri ke-7 letak jawatan.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Ujarnya, bagi menjelaskan persoalan tentang kedudukan MN yang dimeterai UMNO dan PAS pada 2019, apa yang boleh dikatakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

“Hubungan kedua-dua parti masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkan.”

Beliau turut berkongsi cerita mengenai ilham untuk menjalinkan semula kerjasama antara kedua-dua parti telahpun wujud sejak tahun 1998.

“Selepas saya mendapat ‘ijazah’ Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA), saya bertemu pemimpin PAS, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din ketika itu.

“Allahyarham Tuan Guru waktu itu merupakan Ketua Penerangan PAS. Saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Dr. Haron Din kepada saya.

“Beliau menyatakan betapa hasratnya melihat UMNO dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain meskipun walau tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.”

Ujarnya, secara peribadi beliau menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham Tuan Guru apabila kembali ke rahmatullah pada tahun 2016.

“Syukur allhamdulillah wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam Muafakat Nasional di Dewan Merdeka, dewan utama Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019.

“Saya masih ingat menjadi Presiden UMNO yang berkunjung ke pusat perkhidmatan Presiden PAS di Rusila dan menghadiri Muktamar Sanawi PAS di Gong Badak.
Usaha mewujudkan kerjasama UMNO dan PAS pasca PRU14 ini turut dijayakan oleh kepimpinan tertinggi yang lain kedua-dua parti.

“Saya berfikir kerjasama ini perlu diteruskan UMNO dan PAS kerana ia terbukti memberi impak positif dan InsyaAllah hubungan fikrah ini akan terus rapat dan dekat.”

Sebab itu juga katanya, baru-baru ini beliau menyatakan BN akan terus diperkasakan dan dalam masa yang sama mengukuhkan kerjasama dengan pihak yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.