Beri Moratorium Secara Automatik, Permudahkanlah Urusan Rakyat


KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pergerakan Puteri UMNO menggesa agar moratorium diberikan secara automatik kerana ia tidak melibatkan pemberian sebarang bantuan kewangan kepada rakyat sebaliknya hanya memerlukan kerajaan untuk menggunakan kuasa yang ada bagi memenuhi permintaan tersebut.

Tegas ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan, susulan kelulusan i-Sinar tanpa syarat, moratorium adalah satu lagi perkara mesti dilaksanakan segera agar bantuan kepada rakyat dapat diberi secara lebih efektif.

“Moratorium bukan sahaja diperlukan bagi golongan pendapatan rendah atau B40 yang terkesan teruk kesan akibat daripada PKP, ia turut diperlukan oleh ramai daripada kumpulan M40.

“Jadi penangguhan bayaran balik pinjaman secara automatik seperti dilaksanakan pada PKP 1.0 dahulu amat diperlukan,” ujarnya menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Katanya, hanya yang mampu teruskan pembayaran pinjaman seperti biasa sahaja perlu hubungi bank masing-masing untuk tujuan tersebut.

“Permudahkanlah urusan rakyat, bantulah rakyat sedang susah, ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’,” katanya lagi.

Terdahulu, moratorium telah dilaksanakan semasa pelaksanaan PKP 0.1 selama enam bulan bermula April dengan dilaksanakan secara automatik ke atas semua bank. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.