Agihan Kerusi PRU Bukan Perkara Baru, Pemuda UMNO Perak Sokong Keputusan BPUN – Arrif Majid

KUALA LUMPUR, 15 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak sentiasa menyokong penuh atas konsistensi Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri (BPUN) Perak dalam soal pembahagian kerusi memandangkan ia bukanlah perkara baru yang dinyatakan.

Ketuanya, Mohd Ariff Abdul Majid berkata, isu ini telah dinyatakan beberapa kali sebelum ini iaitu UMNO akan kekal bertanding disetiap kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya yang lalu termasuk kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen yang melompat keluar daripada UMNO.

“Ini membuktikan bahawa UMNO sentiasa ‘berlapang dada’ dan tidak pernah ‘menyimpan
dendam’ walaupun tindakan PPBM sebelum ini yang terlibat secara langsung dalam
tindakan ADUN atau Ahli Parlimen UMNO yang melompat keluar parti.

“Parti UMNO tidak pernah sesekali meminta sesuatu yang bukan menjadi milik UMNO serta berbesar hati untuk memberi ruang kepada PPBM kekal bertanding dua kerusi yang dimenangi pada PRU ke 14 yang lalu. Selain itu juga, UMNO sentiasa terbuka untuk terus berkerjasama dalam apa juga ‘koalisi’ yang meletakkan perjuangan agama, bangsa dan tanah air sebagai teras utama.”

Katanya, pendirian ini jelas memandangkan UMNO bukanlah sebahagian daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan masih kekal sebagai rakan komponen Barisan Nasional(BN) bersama MCA dan MIC.

“Selain itu juga, UMNO tidak pernah memungkiri janji yang telah disepakati bersama parti PAS di dalam Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO akan memberi laluan kepada kerusi yang dimenangi PAS dalam PRU (Pilihan Raya Umum) yang lalu bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru,”katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Sehubungan itu, Arrif Majid berharap agar kekeliruan ini dapat difahami dengan jelas oleh bekas Ketua Armada Negeri Perak, Mubin Salleh agar lebih memahami konteks kerjasama yang dimeterai kini di antara UMNO dan PPBM.

“UMNO sentiasa konsisten dalam melibatkan parti PPBM dalam sebarang keputusan pentadbiran kerajaan negeri Perak tanpa ada sebarang helah atau muslihat tertentu. Sudah tentu ia berbeza dengan pentadbiran sebelum ini iaitu terdapat banyak keputusan yang dibuat membelakangi BPUN Perak termasuklah soal pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada ketika itu,”

“Namun begitu ia harus disulami dengan nilai keikhlasan dan kejujuran sebagai akar utama penyatuan dan tidaklah sekadar diungkapkan dengan kata-kata. Hanya kepada Allah kita berserah,” ujarnya.

Terdahulu, Pemuda UMNO Negeri Perak sedia maklum berkaitan satu wawancara melibatkan Menteri Besar Perak baru-baru ini berkaitan pendirian UMNO Perak di dalam soal ‘status quo’ kerusi yang akan ditandingi UMNO dalam PRU yang akan datang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.