Mahasiswa Tertekan, Harap Pelbagai Pihak Perlu Tampil Ke Depan- Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, baru-baru ini beliau terbaca laporan media seramai 12,705 mahasiswa menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari ‘sugar daddy’.

Katanya,berdasarkan laporan tersebut ia melibatkan penuntut Institut Perguruan Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Perguruan Tinggi Swasta (IPTS) di sekitar Lembah Klang dan fenomena ini sangat membimbangkan.

Jelas beliau, ia bukan saja memperlihatkan keruntuhan moral, malah bertentangan dengan hukum syarak bagi mereka yang beragama Islam.

“Saya tidak berhasrat mencari salah sesiapa dalam soal ini kerana yang paling utama menyelamatkan generasi masa depan negara ini.

“Namun laporan media menyebut peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran mahasiswa mencari ‘sugar daddy’ berlaku selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan PKP 2.O.

“Malaysia malah dikatakan berada pada kedudukan tertinggi Asia bagi mahasiswa mendapatkan ‘sugar daddy’. Mungkin disebabkan desakan hidup dan ekonomi ekoran pandemik COVID-19 punca utama mahasiswa terbabit bertindak sedemikian,” katanya menerusi catatan di facebook.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk juga berharap Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) cakna perkara ini dan beliau akan berkomunikasi dengan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

“Saya juga berharap pihak berkuasa agama dapat menyiasat dan menyelamatkan bagi pelajar yang beragama Islam.

“Jika benar disebabkan desakan wang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, Pusat Zakat dan Baitulmal mungkin boleh menyalurkan bantuan kewangan.

“Bantu mahasiswa dan jangan biarkan mereka hanyut,” tegasnya – UMNO Online