Komitmen BN Sentiasa Utamakan Kepentingan Rakyat – Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 13 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata semasa menjadi Menteri Dalam Negeri beliau menaik taraf unit trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Katanya, mungkin ramai sudah lupa JSPT sebelum itu diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM.

Jelas beliau, antara sebab menaik taraf unit trafik PDRM pada tahun 2016 kerana bimbang dengan statisik kemalangan jalan raya yang tinggi terutama membabitkan penunggang motosikal.

“Berdasarkan statisik kemalangan jalan raya 2015 sahaja, sebanyak 489,606 kes kemalangan dicatatkan dan 6,103 kematian dilaporkan.

“Justeru, kewujudan JSPT bertujuan memperkasa aspek pengkuatkuasaan undang-undang jalan raya sekaligus mendidik masyarakat supaya mematuhi peraturan lalu lintas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Zahid Hamidi lagi, langkah itu juga menunjukkan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.

“Syukur Alhamdulillah… JSPT masih ada dan terus memainkan peranannya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sehingga hari ini.

“Dan … mujur juga ia tidak dimansuhkan oleh kerajaan 22 bulan seperti dialami unit elit polis STAGG, STAFOC dan STING,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.