BN Tetap Formula Terbaik Perpaduan Rakyat, Yang Lain Tak Berjaya Kerana Tiruan

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Barisan Nasional (BN) bukan setakat sebuah gabungan politik, ia adalah formula yang membawa kepada kemakmuran masyarakat Malaysia sejak sekian lama.

Demikian tegas Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Katanya, BN menyuluh semangat konsensus keamanan dan perpaduan serta memandu sejarah keharmonian berpaksikan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Sejak sekian lama dalamnya berdiri UMNO, MCA, MIC dan parti lain yang mewakili kepentingan segenap anggota masyarakat berbilang bangsa dan agama.

“Malaysia sukar mencapai kemakmuran seperti yang dicapai pada hari ini seandainya negara bermula dengan formula yang menghancurkan dan merobohkan.

“Justeru, tidak keterlaluan apabila ada yang berpandangan jika berlaku perpecahan dalam BN, ia memberi maksud perpecahan dalam negara kerana sejak dulu rakyat bersatu mengikut prinsip BN.”

Ujarnya, benar ada formula baharu hampir sama cuba ditawarkan oleh bukan BN sejak 23 tahun lalu, tetapi malangnya ia tidak serupa kerana formula tiruan, maka hasilnya juga tiruan.

“Alternatif berpecah, pakatan berterabur, harapan berkecai. Pada akhirnya sejarah membuktikan BN tetap formula terbaik untuk acuan perpaduan rakyat.

“UMNO, MCA, MIC dan parti komponen lainnya terus utuh bersama BN dengan berpegang kepada konsensus menjaga negara, membela negara.”

Tegasnya, BN malah terbukti tetap teguh walaupun terpalit riwayat hitam serangan dari dalam untuk meranapkan BN demi kepentingan mereka yang tersasar.

“Walau apa terjadi pemimpin, ahli dan penyokong BN akan terus memperkasakan BN. Mengukuhkan kerjasama dengan yang jujur dan ikhlas untuk bekerjasama,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.