Alhamdulillah… Saranan BN Diterima, i-Sinar Dipermudah Demi Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 12 Feb – Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan rasa syukur kerana saranan BN untuk permudahkan skim i-Sinar demi kebaikan rakyat diterima.

Tegasnya, tugas BN dalam memperjuangkan hak dan keperluan tidak akan terhenti dan akan diteruskan dengan desakan terhadap moratorium.

“Alhamdulillah, saranan BN telah diterima dan i-Sinar dipermudahkan untuk kebaikan rakyat. Terima kasih pada pihak berwajib dan diharapkan pelaksanaan nanti tidak menyusahkan.

“Kepada Elya KWSP banyakkan senyuman selepas ini,” katanya dalam hantaran pendek menerusi facebooknya.

Dilaporkan, semalam Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan berkenaan pemansuhan kriteria kemudahan i-Sinar bagi memberi lebih ramai ahli bantuan kewangan melalui simpanan Akaun 1 KWSP mereka.

KWSP dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata pemansuhan kriteria i-Sinar akan melibatkan perubahan kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online, bagi memastikan permohonan boleh dibuat secara mudah dan selamat.

Sebelum ini, BN konsisten dalam saranan kepada kerajaan agar memanfaatkan KWSP untuk para pencarumnya dan ia telah diterima dengan dimasukkan dalam Bajet 2021. Kemudiannya BN telah menggesa kerajaan Persekutuan agar membuat pembayaran sekaligus kepada pencarum KWSP berbanding secara berperingkat dan melanjutkan moratorium secara automatik secara pukal sehingga Jun tahun 2021 bagi membantu rakyat mendepani kesukaran hidup akibat pandemik COVID-19 – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.