Ahli UMNO Perlu Kekal Tenang Hadapi Provokasi, Perbuatan Sabotaj Pihak Luar – UMNO Kedah

ALOR SETAR, 12 Feb – Merujuk kepada insiden kain rentang dan sepanduk yang mempunyai tulisan mendesak Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan di beberapa tempat di sekitar Bandar Alor Setar dan beberapa tempat lain yang berdekatan, UMNO Kedah melihat ianya adalah perbuatan sabotaj daripada pihak luar parti.

Menurut Pengerusinya Datuk Seri Jamil Khir Baharom, beliau percaya ada pihak tertentu yang mahu melihat UMNO bersengketa sesama sendiri dan akhirnya menyebabkan berpecah-belah serta kemudiannya mereka ini akan memperoleh laba daripadanya perpecahan tersebut.

“Jangan kita lupa, ‘antan dengan antan berlaga, ayam tepi lesung yang kekenyangan’.

“Nasihat saya, ahli-ahli UMNO perlu kekal tenang menghadapi provokasi jijik ini dan jangan sesekali terlalu mudah goyah atau terikut-ikut dengan rentak hasutan jahat mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Ahli Majlis Kerja Tertiinggi UMNO itu lagi, perlu difahami UMNO adalah sebuah organisasi yang telah lama wujud di persada politik tanah air sejak sebelum merdeka.

“Pengalaman sebagai sebuah parti yang pernah menerajui kerajaan telah meletakkan para ahli UMNO sudah cukup matang berpencak silat di gelanggang demokrasi.

“Mempamerkan banner rentang seumpama adalah pendekatan jijik dan hilang moral diri yang bukan identiti ahli UMNO,” tegasnya lagi.

Justeru katanya, UMNO Kedah mengajak semua ahli agar terus kekal padu dan kukuh dalam menghadapi serangan pelbagai helah bagi melemahkan parti.

Di samping itu juga ujarnya lagi, semua anggota parti hendaklah menumpukan segala persiapan parti dalam keadaan penuh siap siaga serta terus fokus menghadapi COVID-19 dengan mengikuti segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.