Segerakan Keadilan Buat Arwah Adib – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Sejak Mahkamah Koroner membuat keputusan pada 26 September 2019 bahawa kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim berpunca dari perbuatan jenayah akibat dipukul, sehingga hari ini sudah setahun empat bulan lebih tiada apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa, tegas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Malah katanya, janji kerajaan sejak Disember lalu untuk menyegerakan siasatan yang dikatakan sudah sampai ke peringkat akhir masih belum dibuat sebarang pengumuman rasmi akan hasilnya sehingga kini.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar kerajaan segera mengumumkan perkembangan siasatan dan tindakan agar pihak keluarga Arwah tidak berterusan dibiarkan dalam kegelapan.

“Lebih lama kes ini dibiarkan tertangguh, lebih kuat persepsi yang timbul seolah-olah keadilan semakin dinafikan buat keluarga Arwah Adib, sebagaimana prinsip undang-undang “justice delayed is justice denied”,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Asyraf berkata demikian merujuk kepada laporan sebuah portal berita yang melaporkan bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid meluahkan rasa kecewa dengan kelewatan pihak berkuasa menyelesaikan kes kematian anaknya yang meninggal dunia semasa bertugas di lokasi rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, dua tahun lepas.

Seterusnya, Dr Asyraf berkata Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi secara tegas mendesak kerajaan dan pihak berwajib mengambil tindakan tanpa pilih kasih supaya keadilan terhadap Arwah Adib yang lama tertangguh dapat disegerakan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.