Pengangguran Semakin Melonjak… Kesannya Pelbagai – Zahida

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan berkata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kadar pengganguran pada tahun lepas 2020 lebih daripada 772,000 atau 4.5% kadar pengangguran yang telah direkodkan oleh Jabatan Statistik Negara.

Katanya, dijangkakan ia akan terus melonjak pada tahun 2021 ini dengan perlaksanaan baru Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang juga diumumkan oleh Menteri Pertahanan itu.

“Banyak negara di rantau ini merekodkan prestasi yang semakin baik 2021, tetapi kita bagaimana? Kesan daripada pengangguran yang meningkat ini, saudara/saudari dapat mencongaknya dengan sendiri kerana yang terkesan mungkin saudara sendiri atau jiran tetangga.

“Tapi apa yang saya ingin sentuh ialah kaitan kesannya terhadap kemajuan pendidikan utuk anak-anak B40 yang mungkin tercicir dalam arus pendidikan sekarang. Pembelajaran atas talian harus tidak dipandang remeh.

“Ramai di kalangan B40 dan juga M40 tidak lagi mampu penyediakan kelengkapan sempurna untuk anak-anak mereka. Hendak utamakan pembelian data internet atau penyediaan makan harian? Soalnya lagi dalam satu entri di Facebooknya.

Jelas Zahida lagi, itulah persoalan yang sering dihadapi oleh golongan yang terjejas.

“Di manakah 150,000 laptop yang dijanjikan? Peperiksaan akan dihadapi mereka tak lama lagi.

“Subsidi gaji di bawah pakej rangsangan ekonomi harus ditingkatkan.

“Rata rata lebih 83% para peniaga mengatakan bahawa pakej subsidi ini harus ditingkatkan untuk menampung kos untuk menjalani perniagaan dan untuk mereka kekal beroperasi,” ujarnya.

Begitu juga cadangnya, disyorkan satu dana khas ditubuhkan bagi menolong mereka yang kehilangan kerja.

“Ini bagi memudahkan mereka untuk membentuk haluan baru. Segala halangan di kementerian atau PBT-PBT (pihak berkuasa tempatan) harus dikaji untuk mempermudahkan mereka-mereka yang ingin menjalani penghidupan baru.

“Platform-platform bagi mereka menyuarakan keperluan harus dibentuk bagi mempermudahkan langkah menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

“Semuanya adalah baru bagi kerajaan dan pencebur-pencebur di dalam bidang baru ini,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Zahida juga menyeru agar semua pihak harus bersabar di dalam menjalani penghidupan baru pasca COVID-19 ini. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.