Kaji Semula Keputusan Beri Vaksin COVID-19 Percuma Kepada Warga Asing, Majikan Juga Perlu Bertanggungjawab – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata pihak kerajaan perlu mengkaji semula keputusan pemberian vaksin COVID-19 kepada warga asing secara percuma kerana ia menggunakan kos amat tinggi dan akan membebankan perbelanjaan negara.

Katanya, setakat tahun 2020, terdapat hampir 1.5 juta orang warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di negara ini dan sebagaimana makluman dari Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin pula mengatakan harga vaksin yang telah dirunding sekitar RM 77.00 setiap satu.

“Bayangkan hampir RM 115.5 juta akan dibelanjakan kerajaan untuk memberikan vaksin COVID-19 kepada warga asing.

“Sepatutnya, majikan perlu menjadi pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan vaksin kepada pekerja asing.

“Lebih baik peruntukan tersebut digunakan untuk memperbaiki perlaksanaan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) ataupun meningkatkan capaian internet untuk memudahkan sesi pembelajaran khususnya di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Dr Najmil yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, banyak lagi isu dan masalah yang dihadapi rakyat sendiri tidak diselesaikan, kini kerajaan pula memfokuskan terhadap warga asing.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) mengumumkan akan memberikan vaksin COVID-19 secara percuma kepada semua warga asing selepas seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.