Jawatan Perdana Menteri Pun Atas Ehsan UMNO, Bersatu Jangan Buat Ramai Jadi Musuh – Razlan Rafii

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata kenyataan berunsur ancaman terhadap UMNO meskipun telah mendokong kerajaan Persekutuan masih tidak berpenghujung.

Ulasnya, kecaman demi kecaman dilemparkan terhadap UMNO seolah-olah parti ini hina pada pandangan mata mereka di dalam Bersatu.

“Saya ingin ingatkan seperkara kepada semua pimpinan Bersatu. Jangan lupa bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri hari ini atas ehsan UMNO. Menteri-Menteri yang sedang menerima kecaman teruk daripada rakyat berhubung pelbagai kenyataan tidak mesra rakyat juga terdiri daripada pemimpin Bersatu. UMNO tidak terpalit dengan banyak keputusan yang tidak mesra rakyat. Rakyat akan menghukum anda kerana riak dan dasar tidak peduli rakyat.

“Sekadar makluman bersama, sekiranya Bersatu tewas pada PRU-15 (Pilihan Raya Umum) akan datang, kepimpinan anda juga akan didakwa oleh pihak lawan. Ketika itu, jangan tuduh UMNO punya kerja pula kerana sehina-hina UMNO, kami telah meluluskan penubuhan Bersatu dan tidak pula mengharamkan parti ini. Banyak kes-kes ‘Projek Direct Award’ dari Kementerian di bawah PPBM menjadi siasatan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jangan lupa,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu Mohd Razlan yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut mempersoal gesaan Majlis Tertinggi Bersatu Dr. Muhammad Faiz Na’aman yang mendesak agar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) menyiasat dakwaan yang dibuat di mahkamah bahawa UMNO mempunyai akaun bank rahsia yang tidak diaudit melanggar Akta Pertubuhan.

Secara tersiratnya, Dr. Faiz cuba menunjuk pandai dengan mengajar Setiausaha Agung partinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga merangkap Menteri Dalam Negeri, katanya.

“Mungkin ini salah satu sebabnya mengapa banyak parti yang cuba didaftarkan masih tidak diluluskan oleh RoS. Rupa-rupanya ada campur tangan daripada pimpinan Bersatu di Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Saya yakin RoS tahu bidang kuasa kerja mereka. Kepimpinan Bersatu tak perlu terburu-buru nak haramkan UMNO. Menggunakan alasan teknikal untuk tujuan tersebut adalah perbuatan yang tidak ‘gentleman’. Sebaliknya Bersatu lawan UMNO dengan memenangi hati rakyat bukannya dengan cubaan menumbangkan parti yang ditubuhkan oleh rakyat ini semenjak tahun 1946.

“Rakyat tahu bahawa Bersatu kini menjadi tempat mencuci dosa ahli-ahli Parlimen yang mempunyai rekod buruk di SPRM dan tidak kurang juga mereka yang mempunyai kes-kes jenayah yang lain. Kes berkaitan dadah hanya dilaporkan sekerat jalan sahaja di dada-dada akhbar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Razlan juga turut mempersoalkan ke mana hilangnya Tabung Harapan yang dipungut untuk membantu membayar hutang negara.

“Sehingga kini tidak diisytiharkan ke mana aliran wang tersebut jika benar digunakan untuk tujuan asal. Banyak lagi pertanyaan yang masih tidak terjawab, termasuk juga dengan kewujudan Ibu Pejabat Bersatu yang naik macam cendawan di seluruh negara. Dari mana datang duit banyak-banyak ni,” tegasnya – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.