Jangan Perjudi Nasib Lebih 400,000 Calon SPM, SVM, STAM Dan STPM – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 11 FEB – Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata mengikut rekod dan perangkaan untuk tahun 2020, jumlah calon yang berdaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah seramai 400,445 pelajar, manakala bagi Sijil Vokasional Malaysia (SVM) pula seramai 8,371 orang untuk Semester 4.

Katanya, bagi calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berdaftar pula adalah seramai 7,996 orang dan bagi calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) adalah seramai 47,008 orang.

Jelas beliau, mahu tidak mahu, peperiksaan awam yang sudah ditetapkan tarikhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu SPM, SVM dan STAM pada 22 Feb dan STPM pada 8 Mac ini, diteruskan sahaja tanpa perlu dipinda sekali lagi.

“Mental lebih 400,000 anak-anak yang bakal menghadapi peperiksaan awam ini sudah cukup terkesan, jangan jadikan mereka mangsa keputusan dan dasar yang berubah di saat akhir lagi. Mungkin ada yang membangkitkan isu kualiti keputusan semua calon peperiksaan awam bagi tahun 2020, namun ada sesetengah guru yang saya temui dan berkongsi pendapat mengatakan soal kualiti tidak timbul kerana Lembaga Peperiksaan menjanjikan piawaian dan bentuk soalan adalah seperti tahun sebelum ini, tidak berubah menjadi mudah atau sebaliknya.

“Kementerian menerusi Jabatan di peringkat negeri, libatkanlah akar umbi, guru dan dengar pandangan pelajar serta ibu bapa sebelum membuat keputusan atau dasar untuk semua. Jangan jadikan pelajar sebagai mangsa sehingga mereka ketinggalan dan masa yang ada terbazir ‘dek’ kerana perubahan polisi dan dasar yang boleh berubah sekelip mata. Ini masa depan anak-anak, masa depan pelapis negara,

“Ya, isu peperiksaan untuk tahun 2020 masih membelenggu negara, namun kita sepatutnya pada masa sama melihat kepada bakal-bakal calon peperiksaan awam untuk tahun 2021. Pelan dan kaedah yang lebih baik sepatutnya sudah pun siap berdasarkan pengalaman tahun 2020. Post-mortem pelaksanaan PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) yang ramai katakan kurang berkesan juga harus dilihat semula untuk tahun 2021 ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, sejak daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu, sistem Pendidikan berhadapan dengan ‘kejutan budaya’ sehinggalah PdPR diperkenalkan, namun berapa hari sahaja calon peperiksaan ini dapat hadir bersemuka dengan cikgu mereka.

“Ini menjadi kekangan dan cabaran terutama buat pelajar.

“Namun, ada juga calon atau pelajar yang menghadapi peperiksaan awam ini sudah sampai tempoh atau keadaan di mana mereka pasrah dan redha, mahu menghabiskan cepat peperiksaan yang tertangguh sejak Disember tahun lalu, itu sahaja yang mereka mahukan tidak kiralah bersedia atau tidak, yang penting habiskan cepat,” ujarnya.

Baru-baru ini arahan baru dikeluarkan Kementerian Pendidikan untuk menamatkan pembelajaran secara bersemuka untuk calon-calon peperiksaan awam dan terpulang atas inisiatif sekolah membuat kelas tambahan atau sebagainya sehingga.

“Tarikh peperiksaan pada 22 Feb nanti. Dua minggu ini sepatutnya menjadi tempoh persediaan kritikal buat guru dan calon peperiksaan, apatah lagi sekolah yang ingin menjaga reputasi dan gred, semestinya tekanan lebih memuncak buat mereka,” tegasnya – UMNO Online


Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.