Murid, Ibu Bapa Dan Guru Muak Kerana PdPR Gagal Penuhi Aspirasi Pendidikan Kebangsaan
LUMPUR, 10 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata semua memahami bahawa kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) merupakan mekanisma terbaik buat masa kini bagi mengatasi dan mengelakkan berlakunya jangkitan COVID-19 di kalangan murid.
Sungguhpun demikian ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, timbul pelbagai permasalahan di dalam mekanisma pelaksanaan PdPR yang sehingga kini masih lagi gagal untuk diatasi oleh pihak kementerian berkaitan mengakibatkan berlakunya tekanan perasaan terhadap murid, ibu bapa dan guru bagi mengadaptasi dengan norma baru ini.
“Malah, keluhan ibu bapa yang kecewa dengan pelaksanaan PdPR ini sudah mulai disuarakan memandangkan tidak ada satu sistem pendidikan yang selaras dari segi mekanisma pengajaran dan pembelajaran, tempoh waktu operasi kelas yang mengambil masa sepanjang hari sehingga larut malam dan ketidakselarasan jadual sehingga berlakunya pertindihan kelas.
“Akibatnya, ada antara murid-murid seolah-olah dilambakkan dengan kerja sekolah semata-mata tanpa memahami intipati subjek yang dipelajari.
“Keadaan ini mengakibatkan ada ibu bapa yang sudah mulai muak dengan sistem PdPR ini dan mengambil inisiatif sendiri dengan menyediakan jadual waktu dan mengajar anak mereka sendiri memandangkan kebanyakan PdPR hanya mementingkan kehadiran murid berbanding kualiti pendidikan,” ujarnya dalam satu kenyataan petang ini.
Tegasnya juga, meletakkan kesalahan kepada guru semata-mata adalah suatu tindakan yang tidak wajar kerana terdapat ramai guru yang begitu komited untuk memastikan anak murid mereka tidak tercicir dalam pendidikan dengan pelbagai kaedah dan inisiatif.
“Persoalannya apakah mekanisma oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan kaedah PdPR ini menepati tahap pendidikan yang benar-benar berkualiti dan mampu memenuhi kehendak aspirasi pendidikan negara di samping mengoptimumkan teknologi.
“Janganlah sekadar menyediakan jalan penyelesaian yang boleh diibaratkan seperti ‘melepaskan batuk di tangga’,” kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.
Tahun ini menyaksikan sistem pendidikan dan pembelajaran melalui kaedah PdPR telah bermula sejak tahun 2020 akan dilaksanakan secara optimum oleh pihak Kementerian Pendidikan. – UMNO ONLINE