Pilihan Di Tangan Kita Untuk Sama-Sama Kuatkan UMNO Menjelang PRU – Armand

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berpandangan apa yang penting hari ini semua pihak di dalam parti perlu sama-sama memainkan peranan untuk menguatkan UMNO dan tidak seharusnya terikut-ikut dengan rentak pihak tertentu berkaitan soal pilihan raya.

Bagi beliau pilihan hari ini berada di tangan masing-masing dan seharusnya semua pihak wajib menguatkan dalaman parti itu sendiri baik daripada akar umbi cawangan, bahagian, negeri dan pusat ke arah perdamaian, penyatuan, pengukuhan dan perpaduan UMNO serta Barisan Nasional (BN).

“Pertama bagi saya, kita jangan ambil sangat tahu hal mereka pasal itu yang mereka mahukan untuk kita viralkan persiapan mereka. Kedua kita wajib kuatkan dalaman parti kita semua peringkat  kerana ini adalah mas ayang terbaik untuk masing-masing perkukuhkan parti,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Seterusnya Armand yang juga Ketua UMNO Subang menegaskan utamakan dahulu gerak kerja parti ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) daripada pemilihan parti  kerana PRU-15 amat penting bagi UMNO dan BN.

Ujar beliau ianya harus bermula daripada diri sendiri dahulu jika masing-masing sayangkan parti.

“Jauh di lubuk hati kita, jika tidak masa akan menentukan kejayaan dan kekuatan parti kita. Biarlah mereka nak buat apapun, kita kena berikan keutamaan dalam merancang gerak kerja parti ke arah persiapan PRU-15.

“Tak perlu nak sebarkan apa mereka buat, kerana itu yang mereka mahukan… kita bermula saat ini sebar program-program, kenyataan-kenyataan, gerak kerja dan apa jua yang berkaitan dengan parti kita, itu lebih baik.

“Ini masa yang terbaik buat kita untuk perkukuhkan parti kita. Apa pilihan yang ada di tangan kita sebagai ahli parti? Ke arah kemenangan atau ke arah kekalahan? Pilihan di tangan kita sendiri bukan orang lain,” tambahnya lagi.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.