Lihat Secara Serius, Zahid Terus Suarakan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar  

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) yang menjadi buah mulut masyarakat umum sekali lagi dibangkitkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memberi penekanan supaya kerajaan meliaht soal tersebut secara serius.

Menerusi laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan soal berkenaan jauh merentasi segala-galanya apatah lagi melibatkan soal politik kerana rata-rata rakyat di bawah amat terkesan dengan senario semasa ekonomi negara hari ini.

“Apabila rakyat yang kecewa menyindir ‘Banker Jaga Banker’ penyokong mereka marah. Tuduh rakyat tidak tahu bersyukur. Kami pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) pula dituduh bermain politik apabila bersuara dan membangkitkan persoalan ini.

“Sedangkan persoalan ini merentasi dimensi politik. Ini soal rakyat. Soal membantu rakyat. Saksikan media turut membangkitkan isu sama. Tentang kekecewaan rakyat berhubung Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA).

“TRA atau moratorium bayaran balik pinjaman yang dilaksanakan kerajaan dengan bantuan ins­titusi perbankan itu didakwa hanya indah khabar dari rupa. Bantuan tersebut dilihat menjerat pengguna apabila yang ditawarkan bukan pengecualian bayaran semula pinjaman, sebaliknya penstrukturan semula,” katanya.

Katanya lagi penstrukturan semula pinjaman yang dikatakan akan meningkatkan bebanan hutang peminjam dalam jangka masa panjang dan jJika perkara itu benar, dimanakah keikhlasan dan kejujuran dalam membantu rakyat menghadapi tempoh sukar akibat pandemik COVID-19.

Tegasnya secara peribadi beliau sangat tidak berpuas hati jika apa yang dipersoalkan ramai pihak itu adalah benar dan seolah-olah terdapat anasir untuk mengambil kesempatan pada kala rakyat sedang terdesak bagi menjana ‘long term revenue’.

“Saintis menjangkakan Malaysia memerlukan tempoh setahun untuk mencapai imuniti kelompok bagi vaksinasi COVID-19. Bagi mencapai imuniti kelompok bermaksud 80 peratus rakyat perlu disuntik dengan vaksin COVID-19.

“Dalam tempoh setahun itu mungkin lebih ramai akan memerlukan bantuan balik pinjaman. Sebab itu kita menuntut moratorium penuh untuk tempoh masa tertentu, bukan penstrukturan semula pinjaman. Penstrukturan semula pinjaman memang produk kewangan yang ditawarkan institusi perbankan kepada orang ramai selama ini.

“Saya berharap jangan sampai rakyat mula berperibahasa ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ kepada institusi perbankan. Itu lebih tidak elok kesimpulannya,” tambahnya. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.