Kerajaan Perlu Lebih Peka Tangani Masalah Rakyat, Tolonglah Beri Perhatian – Zahida

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Isu peluang pekerjaan baharu janganlah diharap lagi dengan ketiadaan pelabur-pelabur asing yang akan melabur malah pekerjaan sedia ada belum tentu lagi selamat dengan penutupan kilang-kilang antarabangsa semakin rancak berlaku apabila mereka membuat keputusan untuk berpindah ke negara jiran.

Demikian tegas Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berikutan laporan terbaharu Tabung Antarabangsa untuk kanak-kanak (UNICEF) di bawah United Nations (UN) yang membuat laporan menyedihkan terhadap kehidupan kanak-kanak di Malaysia.

Sehubungan itu beliau merayu kepada pihak yang bertanggungjawab agar memberi perhatian kepada hal terbabit.

“Menteri yang berkenaan tolonglah beri perhatian pada permasalahan ini. Buatlah sesuatu yang dapat memberi sinar baru kepada rakyat.”

“Mereka (UNICEF) melapurkan bahawa kemiskinan dan pengganguran telah meningkat dua kali ganda di Malaysia sejak September, 2020 dengan 63% keluarga tidak lagi mampu untuk memenuhi keperluan harian mereka disebabkan kurangnya peluang pekerjaan dan ketiadaan simpanan mengcukupi,” katanya dalam laman Facebooknya.

Ujarnya, UNICEF juga melaporkan kadar kemurungan, kesihatan mental dan emosi bertambah terutama dikalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita.

“Kita tak mampu menghulurkan bantuan dalam hal ini cuma diharap Kerajaan akan lebih peka dalam menangani masalah ini.

“Menteri berkenaan tidak akan terkesan dengan keadaan sekarang tapi jangan menidakkan wujudnya pemasaalahan rakyat yang semakin serius ini,” katanya lagi.

Dilaporkan, UNICEF memaklumkan berdasarkan Bahagian Tiga laporan ‘Families on the Edge,’ pengangguran dalam kalangan ketua keluarga telah meningkat sekali ganda daripada tujuh peratus pada September 2020 kepada 15 peratus pada Disember 2020 manakala satu daripada tiga orang dewasa dalam isi rumah yang mengambil bahagian masih menganggur sementara pengangguran dalam kalangan wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) yang menjadi ketua keluarga juga meningkat masing-masing kepada 13.4 peratus dan 50 peratus. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.