Elakkan ‘Double Standard’

SOP baharu bagi anggota Kabinet kembali ke tanah air selepas tugas rasmi di luar negara yang diumumkan semalam menjadi perbualan hangat di kalangan rakyat. Peraturan baharu memendekkan tempoh kuarantin khas bagi anggota Kabinet dari 10 hari ke 3 hari.

Apa sahaja penjelasan teknikal yang diberikan, dalam keadaan kesempitan rakyat hari ini, sukar untuk menjustifikasikan keputusan ini dari sudut moral.

Bukan menidakkan pentingnya hubungan diplomasi. Bukan menidakkan pemimpin Kerajaan mungkin ada keperluan ke luar negara bagi tujuan rasmi yang dibuat demi kepentingan negara, walaupun keperluan itu pun boleh dipertikai.

Namun, andai kita berfikiran positif dan menganggap ada sesuatu mustahak yang menuntut lawatan atau pertemuan fizikal di luar negara sekalipun, semua ini tidak memberi sebab untuk peraturan berbeza dengan rakyat, khususnya berhubung kuarantin setelah pulang ke negara.

– Pertama, soal risiko penularan Covid-19, di mana umum mengetahui tempoh inkubasi melebihi 3 hari. Bayangkan kalau ada satu sahaja kes Menteri yang positif setelah keluar negara dan tidak dikuarantin – apa sahaja penjelasan selepas itu tiada gunanya.

– Kedua, jika dikatakan risiko penularan dibendung kerana “travel bubble” sekalipun, pengecualian ini dilihat tidak adil sedangkan rakyat kebanyakan tidak diberi kemudahan ini.

– Ketiga, pemimpin negara lain pun boleh patuh kepada SOP khususnya kuarantin setelah pulang ke negara mereka – kenapa pemimpin Malaysia tak boleh?

Perdana Menteri Australia Scott Morrison melawat Jepun pada Oktober tahun lepas dan setelah tiba kembali ke Australia, beliau menjalani kuarantin mandatori 14 hari sambil menyertai sesi parlimen melalui video.

Dari awal pandemik setahun dahulu, Kerajaan menekankan pentingnya usaha bersama untuk mengatasi cabaran Covid-19.

Maka jika benar ia usaha bersama, seberapa boleh, pemimpin Kerajaan wajar meletakkan diri mereka melalui peraturan sama dengan rakyat yang bersusah dan berkorban jauh lebih besar.

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.