Wahai KWSP! Permudahkanlah, Usah Persulitkan! – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pemuda UMNO sekali lagi mendesak dan merayu agar Kewangan Simpanan Pekerja (KWSP) mempermudahkan pengeluaran i-Sinar terutamanya kategori 2 dengan memansuhkan segala syarat dan kriteria bagi membolehkan rakyat mengeluarkan wang simpanan mereka dengan segera.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sejak dari awal lagi pelbagai usaha telah dilakukan untuk meyakinkan kerajaan dan KWSP agar mempermudahkan urusan rakyat yang ingin mengeluarkan wang simpanan mereka di KWSP.

“Pemuda UMNO sendiri telah menghantar memorandum, bersemuka dengan Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Menteri Kanan, membuat pelbagai desakan melalui media bahkan berbincang dengan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) supaya diangkat dalam perbahasan di Parlimen.

“Bagi Pemuda UMNO, saat-saat sukar dalam senario luar biasa tatkala pandemik COVID-19 yang melanda, perlunya pendekatan yang juga luar biasa untuk menyantuni hasrat dan harapan rakyat yang sememangnya susah dan gelisah ketika ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Justeru, kata Dr Asyraf lagi, dengan apa yang berlaku kelmarin dan hari ini khususnya ‘masalah teknikal’ sistem mengecewakan.

“KWSP yang mengecewakan ramai pemohon yang rasa dipermainkan.” ujarnya.

Sebelum ini menerusi kenyataan ringkas yang dimuat naik di laman Instagram dan Facebook KWSP semalam mengumumkan pihaknya berdepan masalah teknikal berhubung paparan status permohonan kemudahan i-Sinar.

Kenyataan tersebut menyusul beberapa jam selepas kebanyakan permohonan i-Sinar kategori 2 dilaporkan telah lulus selepas pemohon membuat semakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.