Prihatin Rakyat Mesti Dibuat, Stabilkan Harga Barangan Waktu PKP – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sehingga 18 Feb ini memberi impak yang pelbagai termasuklah kenaikan harga barangan di pasaran.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa kerajaan mesti bertindak khususnya Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta agensi berkaitan wajar selesaikan segera isu ini.

“Prihatin rakyat mesti dibuat dan stabilkan harga barangan,” katanya menerusi ciapan di dalam Twitternya yang merujuk kepada laporan akhbar ‘Harga sayur meningkat, peniaga tawar hati’, hari ini.

Katanya, rakyat inginkan harga barang yang terkawal dan laporan ini juga sebut sebab PKP harga sayur meningkat.

“Kepada yang tinggal di kawasan kampung, jom tanam keliling rumah. Di kawasan bandar sukar,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Berdasarkan laporan artikel terbabit, berlaku peningkatan mendadak harga beberapa jenis sayuran terutama cili padi merah sejak PKP dilaksanakan. Harga pasaran cili merah mencatat peningkatan sehingga mencecah hampir RM30 sekilogram selain beberapa jenis sayur lain antaranya kailan, sawi jepun, tomato dan kacang botol. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.