Kerajaan Perlu Ambil Berat, Bantu Petani Berdepan COVID-19 – Noh Omar

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar menegaskan bahawa kerajaan perlu mengambil berat hal berkaitan pesawah dalam berdepan dengan situasi hari ini.

Ini kerana katanya, ada dasar-dasar baru yang dilaksanakan kerajaan memberi beban kepada rakyat.

“Saya membangkitkan tiga isu yang membelenggu pesawah iaitu padi di Selangor tidak boleh dijual keluar dari negeri, pembelian benih padi dan potongan jualan padi. Ada dasar-dasar baru yang membebankan rakyat.

“Sebagai mantan Menteri Pertanian saya memahami kepayahan yang dihadapi petani terutamanya dalam tempoh pandemik COVID 19 ini,” katanya berkaitan isu terbabit.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri di Dewan Rakyat menggesa kerajaan untuk ambil berat dengan cadangkan pegawai kawal selia ditempatkan di pusat pembelian padi untuk membuat penilaian dan pemutuan beras padi.

“Dahulu tiada dasar berhubung perkara ini dan sekiranya alasan takut bekalan beras berkurangan, perkara ini tidak munasabah.

“Padi di Selangor adalah antara yang terbaik dan boleh memberi hasil dan pulangan beras 60 peratus iaitu satu tan metrik boleh menghasilkan beras kira-kira 600 kilogram. Nilai padi di Selangor cukup baik, namun tindakan tidak membolehkannya dijual di luar mengakibatkan wujudnya kartel,” katanya.

Beliau juga mahukan agar satu penetapan dibuat berkaitan potongan jualan.

“Sebagai contoh sekiranya petani boleh menghasilkan lapan tan padi, potongan jualan ditetapkan sebanyak 20 peratus dan jika berkurangan pula dinaikkan peratusan pemotongan,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.