Gerakkan Perdamaian, Penyatuan, Pengukuhan, Perpaduan… Letak Keutamaan Parti Di Hadapan – Armand

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah mengajak semua pihak untuk meletakkan keutamaan parti jauh di hadapan kepentingan individu iaitu sama-sama gerakkan perdamaian, penyatuan, pengukuhan dan perpaduan dalam parti.

Katanya, serangan, kritikan, hinaan, tikam belakang, kutukan dan pelbagai lagi adalah sebahagian resam yang memang ada dalam dunia politik namun sebagai pemimpin yang letak kaki dalam dunia politik, ini sebahagian perjalanan yang harus ditempuhi.

“Bukan perkara mudah, tetapi ianya harus dilalui dengan kesabaran, ketabahan, kematangan dan dengan penuh istiqamah,” katanya dalam kenyataan menerusi kenyataan dalam laman facebooknya.

Jelasnya, dalam menghadapi situasi begini, selalu ada beberapa pendekatan iaitu yang pertama, ‘head on’ lawan secara open, yang akhirnya hanya akan cipta keretakan dalam parti sedangkan sekarang ini usaha mengerakkan ke arah penyatuan dan pengukuhan.

Sementara yang kedua katanya, tenang dan sabar.

“Biar orang buat kita, jangan kita buat orang… kita fokus gerak kerja pengukuhan dan penyatuan. Kita gunakan kematangan dalam tiap keputusan jangan kita gunakan emosi, kerana itu yang mereka mahukan.

“Tepuk dada dan tanya diri kita. Jawapannya ada jauh di sudut hati kita… saya pilih pengukuhan dan penyatuan. Sama-sama kita terus berdoa dan istiqamah. Insya-Allah, Allah swt akan terus bersama dalam kita menongkah arus ini jika kita ikhlas dalam perjuangan ABaTa.”

Jelas Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, rata-rata sekarang ini bercerita tentang transformasi politik terutama dalam peremajaan parti.

“Ini akan berlaku bila kita benar-benar faham erti maksud yang dikatakan dan yakin serta ikhlas mahukan dinamika politik dalam lanskap politik baru, tetapi jika sekadar cakap tanpa pemahaman ianya hanya sekadar laungan sahaja.

“Kita harus buat paham keadaan politik hari ini terutama non partisan yang bakal menjadi pengundi pada PRU-15 akan datang. Apa guna kita menang bersorak dalam parti, tetapi akhirnya parti kita hilang kuasa seperti mana PRU14 yang lepas.

“Sebagai sebuah parti politik perkara ini amat penting bagi masa hadapan parti akan datang. Adakah kita masih lagi dalam kepompong politik lama atau adakah kita mahukan parti kita terus kuat dan seterusnya kembali menjadi tongak pemerintah negara?”

Beliau turut membuat analogi bahawa politik bagi bukan seperti larian pecut 100m, tetapi politik perlukan ketahanan yang tinggi ibarat larian marathon yang jauh.

“Tiap larian harus ada arah tuju dengan kesabaran, tahu bila mulakan ‘warm up’, tahu bila nak mulakan larian perlahan, tahu bila perlu minum air, tahu bila perlu pecutan kemenangan dan paling utama tahu kekuatan diri kita dengan sokongan sahabat-sahabat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.