Tommy Thomas Cuba Rosakkan Keharmonian, Perlu Segera Tindakan Tegas – Noraini

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Wanita UMNO Malaysia mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Peguam Negara Tommy Thomas yang dilihat cuba merosakkan keharmonian negara Malaysia.

Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad memaklumkan Wanita UMNO sendiri telah meneliti kandungan buku buku tersebut dan ternyata ia mengandungi petikan-petikan yang berbaur hasutan dan boleh membawa kepada suatu kesalahan di bawah Seksyen 3 dan Seksyen 4 Akta Hasutan 1948.

“Tindakan Tommy menerbitkan buku tersebut sekaligus memalukan malah menghina sistem perundangan negara. Sebagai seorang pengamal undang-undang yang pernah menjawat jawatan Peguam Negara, seharusnya beliau sedar akan akta kerahsiaan dan sumpah janji yang telah dibuat,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, Wanita UMNO Bahagian seluruh negara telah membuat laporan polis dan berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera terhadap isu ini.

“Wanita UMNO juga mendesak pihak berkaitan dapat merampas buku penulisan Tommy yang bertajuk ‘My Story: Justice In The Wilderness’ kerana sekiranya buku ini tersebar, pasti ia boleh menimbulkan permusuhan antara masyarakat
berbilang kaum,” katanya lagi.

Dilaporkan, buku berbentuk memoir Tommy Thomas menulis berkenaan insiden 13 Mei yang tidak berlandaskan fakta dan menyimpang daripada perkara sebenar selain penghinaan terhadap Allahyarham Tun Razak dan beberapa perkara lain. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.