Sanitasi Percuma Dihalang, Pemuda UMNO Hanya Ingin Bantu Bukan Berpolitik – Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan rasa terkilan dengan sikap beberapa PPD di beberapa negeri yang mengeluarkan pekeliling arahan untuk menghalang kerja amal bakti Skuad Sabil dan Sukarelawan Pemuda UMNO atas alasan tidak mahu pengaruh politik masuk ke sekolah-sekolah.

Tegas Dr Asyraf, kehadiran Sukarelawan Pemuda UMNO hanya untuk membantu menyahkuman bagi mencegah wabak virus Covid-19.

“Kami tidakpun mengadakan sebarang perjumpaan atau program politik dengan pihak pelajar jika alasan kami ingin mempengaruhi mereka dengan ideologi politik.

“Lebih pelik, bukankah UMNO juga sebahagian daripada yang mendokong Kerajaan PN hari ini? Atau apakah kami dianggap parti penumpang sahaja dalam Kerajaan hari kerana Menterinya merupakan Naib Presiden PPBM?” katanya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya, hari ini.

Apa-apapun, katanya, sikap segelintir pihak yang cuba menghalang dan mencetuskan kecurigaan terhadap kerja amal sebegini tidak sedikitpun menjejaskan semangat Pemuda-pemuda dan Sukarelawan Skuad Sabil untuk terus mencurahkan khidmat bakti terutamanya demi keselamatan pelajar-pelajar SPM/STPM yang bakal menduduki peperiksaan tidak lama lagi.

“Menjelang peperiksaan SPM/STPM, kami Pemuda UMNO amat memahami kebimbangan dan keresahan rakyat di kalangan ibubapa mengenai tahap keselamatan dan kebersihan sekolah-sekolah menengah yang bakal menjadi pusat peperiksaan di seluruh Malaysia.”

Justeru katanya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menggerakkan dan menyelaras seluruh jentera 191 Pemuda UMNO Bahagian-Bahagian seluruh Malaysia dan Sukarelawan Skuad Sabil untuk turut membantu menyahkuman atau sanitasi secara percuma di kawasan-kawasan sekolah dengan kerjasama pihak Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah sendiri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.