PH Perlu Terima Hakikat ‘Rumah’ Sudah Terbakar, Mandat Rakyat Adalah Untuk PRU-15 – Noh

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar membidas Pakatan Harapan (PH) yang kekal dengan pendirian tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan sebaliknya mahu mandat rakyat dikembalikan kepada mereka semula.

Tegasnya, PH perlu terima hakikat ‘rumah’ mereka sudah terbakar dan tiada lagi isu kerajaan pintu belakang atau tebuk atap kerana pemimpin PH bertanggungjawab membakar rumah mereka sendiri.

“Kerajaan PH sudah pun terkubur akibat pergelutan dalaman antara parti dalam gabungan itu. Kita boleh ibaratkan kerajaan PH seperti sebuah rumah yang sudah terbakar menjadi abu dan bagaimana mereka (PH) hendak bina (rumah) semula?

“PH kena terima hakikat rumah mereka sudah terbakar dan tiada lagi isu kerajaan pintu belakang atau tebuk atap kerana pemimpin PH bertanggungjawab membakar rumah mereka sendiri,” katanya

Sehubungan itu katanya, PH dinasihatkan tidak bermimpi di siang hari untuk kembali menerajui kerajaan Persekutuan walaupun mendapat mandat daripada rakyat pada (PRU-14) lalu.

“Apabila rumah sudah terbakar, kita buat rumah sementara kerana mahu rakyat terus diberi pembelaan. Kalau hendak buat rumah kekal, maka kita kena tunggulah sehingga PRU-15 nanti,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, Barisan Nasional (BN) dan Pas yang menjadi pembangkang ketika itu menjadi penyelamat untuk bersama-sama menyokong penubuhan kerajaan Perikanan Nasional (PN) selaras Perlembagaan Persekutuan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79