Lagi Laporan Polis Terhadap Tommy Thomas, Dakwa Segera Kerana Fakta Tidak Betul, Menghina, Fitnah

KUALA LUMPUR, 7 Feb – Laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas terus dibuat berhubung penerbitan buku berbentuk memoir ‘My Story: Justice in the Wilderness’ yang didakwa mengandungi pelbagai fakta tidak betul, menghina, malah menfitnah.

Wanita UMNO Kedah mahu siasatan dilakukan segera kerana Tommy telah melanggar sumpah kerahsiaan jawatan dengan mendedahkan kepada umum bagi tujuan komersial, keuntungan dan sensasi selain melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972.

Ketuanya, Datuk Sharifah Maznah Syed Kassim Barakbah berkata, laporan polis secara serentak di semua 15 bahagiannya telah dibuat bagi membantah penjualan buku berkenaan kerana mengandungi fitnah, hasutan dan mendedahkan rahsia kerajaan.

“Petikan dalam buku tersebut telah diedarkan melalui pelbagai media. Beberapa tajuk dalam buku tersebut menunjukkan kandungannya berkait dengan hal kerahsiaan kerajaan dan negara termasuk perbincangan serta nasihat diberikannya kepada Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja,” katanya.

Tegasnya, buku Tommy berunsur fitnah dan hasutan malah ia adalah kesalahan di bawah Akta Fitnah 1957.

“Saya berharap buku tersebut ditarik balik dari pasaran kerana mempunyai unsur fitnah dan hasutan yang boleh membangkitkan kebencian antara kaum dan badan-badan kerajaan yang kononnya di dominasi oleh bangsa Melayu yang tidak berkelayakan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sabah juga membuat laporan polis kerana menganggap tindakan Tommy berkenaan agak keterlaluan.

Laporan polis dibuat oleh PSU Puteri Negeri, Fazilah Ahmad bersama SUK Puteri Negeri yang juga Ketua Puteri Kudat, Norlisah Rasick dan Ketua Puteri Kinabatangan, Meez Miza serta beberapa ahli Puteri UMNO.

Mereka berharap agar pihak polis dapat menyelesaikan kes ini dengan cepat, baik dan adil supaya menjadi pengajaran di kemudian hari.

Terdahulu, polis di Negeri Johor juga mengesahkan telah menerima 16 laporan daripada pelbagai pihak berkaitan isu yang sama termasuklah pergerakan Pemuda UMNO Johor yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini, petang semalam. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.