Dulu BN Tubuh Skuad Elit PDRM, Kerajaan 22 Bulan Bubar Tanpa Ambil Kira Indeks Jenayah – Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan, semasa beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014 telah mencetuskan idea penubuhan tiga skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING).

Jelasnya, idea penubuhan tiga skuad elit ini dengan sasaran untuk melawan dan melumpuhkan habis-habisan jenayah terancang di Malaysia iaitu memburu dan menangkap ‘jerung-jerung’ yang menjadi dalang berbanding menahan ‘ikan bilis’.

“Namun selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018, kerajaan 22 bulan mengarahkan pembubaran ketiga-tiga skuad elit ini. Antara alasan bagi mengelak pertindihan fungsi dalam jabatan, mengelak rasa kurang harmoni antara anggota, menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Alasan itu dibuat tanpa mengambil kira indeks jenayah membabitkan aktiviti kumpulan jenayah terancang turun mendadak sejak penubuhan skuad terbabit,” ujarnya dalam kenyataan menerusi laman facebooknya.

Jelas Zahid yang juga Pengerusi BN, STAFOC untuk menangani jenayah terancang seperti membabitkan sindiket rompakan bank, penculikan, STAGG untuk melawan kumpulan gengster antarabangsa dan tempatan, maksiat, judi dan pertubuhan kongsi gelap dan STING untuk memburu ketua sindiket dadah serta melawan aktiviti penyeludupan dadah antarabangsa dan tempatan.

“Ketiga-tiga pasukan elit ini pernah digabungkan dalam Op Cantas Khas bagi menangani kegiatan kongsi gelap dan pembunuh upahan pada 2016.

“Ketika masyarakat tidur nyenyak, STING, STAGG dan STAFOC bergadai nyawa memastikan elemen jenayah terancang dipatahkan di peringkat awal, di peringkat paling teratas.

“Saya dimaklumkan setiap pegawai dan anggota skuad elit ini tidak pernah merungut, membantah dan mengenepikan sebarang arahan diberikan. Kesemua pegawai dan anggotanya menggalas tugas dan amanah dengan sangat cekap dan cemerlang.

Katanya, mereka bukan sahaja telah berjaya meningkatkan tahap penguatkuasaan, tapi menjadikan jaringan perisikan lebih efisyen.

“Tanpa mengambil kira keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan mereka dan fungsi pasukan polis semakin bertambah.

“Tanpa mengambil kira kegerunan dan ketakutan kumpulan jenayah terancang terhadap ketiga-tiga pasukan elit polis itu.

“Saya tahu begitu banyak hujah dikeluarkan bagi menjustifikasikan pembubaran STAFOC, STAGG dan STING oleh penyokong mereka ketika itu.”

Ujarnya, bukan untuk menafikan sumbangan dan kemampuan pegawai dan aggota polis lain, tetapi skuad ini diwujudkan untuk memperkasakan lagi usaha melawan jenayah.

“Begini analogi saya semasa mencetuskan idea penubuhan skuad-skuad elit ini. Dalam setiap sektor pekerjaan pasti ada golongan dianggap sebagai pakar. Sebagai contoh dalam bidang kedoktoran ada doktor dikategorikan doktor pakar. Mereka akan mengendalikan kes-kes perubatan besar dan kritikal.

“Tidaklah pula bermakna doktor lain tidak hebat. Sama-sama terus menggalas tanggungjawab mengikut kapasiti masing-masing.

“Begitu juga perihal kewujudan skuad elit ini. Mereka dianggap sebagai pakar dalam bidang tugas mereka menentang jenayah.”

Terangnya lagi, mereka terdiri daripada yang terlatih dan terpilih antara yang terbaik daripada yang terbaik dalam pasukan polis.

“Benarlah dalam setandan pisang tak semua busuk. Namun yang secebis itu digembar-gemburkan hingga habis kelambu dibakar.

“Saya yakin andai STING, STAGG dan STAFOC masih wujud, pasti kes-kes jenayah berat dan kongsi gelap semakin kurang didengari oleh kita pada hari ini.”

Dalam hal ini, beliau memetik kata-kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada waktu itu: “Sebenarnya mereka yang bubarkan tidak tahu keberkesanan unit-unit ini. Jasa saudara dan saudari di STING, STAGG dan STAFOC akan tetap dikenang oleh masyarakat.”

Dilaporkan, pada Jun 2018, kerajaan Pakatan Harapan memaklumkan tiga pasukan khas berkenaan akan dimansuhkan dan dibuat penstrukturan semula dibeberapa jabatan dalam PDRM. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.