Tujuh Asas Mewajarkan RCI Siasat Tommy Thomas Termasuk Kebebasan Badan Kehakiman – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Setelah meneliti kandungan buku karangan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat beberapa perkara yang dibangkitkan beliau.

Kata Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan hari ini di sini, tujuh asas yang mewajarkan penubuhan RCI ini termasuklah:

1. Penyalahgunaan Kuasa Dalam Isu Perlantikan Hakim

Tommy Thomas mengakui terlibat di dalam mempengaruhi pemilihan dan penetapan Hakim-Hakim Kanan termasuklah Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar di Sabah dan Sarawak serta Hakim Mahkamah Persekutuan melalui beberapa siri perbincangan beliau bersama Perdana Menteri sedangkan beliau bukan Ahli Suruhanjaya Perlantikan Hakim.

Ini jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (Akta 695) 2009.

2. Kebebasan Badan Kehakiman

Berikutan pendedahan Tommy Thomas juga, siasatan RCI juga harus disekalikan dengan dakwaan salah laku kehakiman yang terkandung dalam afidavit yang difailkan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer pada tahun 2019 sebagaimana desakan yang sama dibuat SUARAM.

3. Campur Tangan Badan Eksekutif Melampau Dalam Badan Pengadilan

Pendedahan Tommy Thomas juga menzahirkan wujudnya campur tangan yang jelas Perdana Menteri Ke-7 Tun Mahathir Mohamed ke dalam badan pengadilan dan kehakiman. Ini jelas bertentangan dengan prinsip pengasingan kuasa sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

4. Pendakwaan Terpilih dan Bersifat Politik

Tommy Thomas melakukan pendakwaan terpilih secara tidak adil apabila beliau bertindak menggugurkan pendakwaan bahkan menarik balik kes yang sedang dibicarakan melibatkan kes rasuah pemimpin tertinggi Lim Guan Eng walaupun agensi penguatkuasaan SPRM mengakui mereka mempunyai kes terhadap mantan Menteri Kewangan itu. Ini tidak termasuk sejumlah besar kes-kes lain yang ditarik balik melibatkan pimpinan PH seperti R. Sivarasa, Rafizi Ramli, N. Surendran, Thomas Su Keong Siong, Hassan Karim dan ramai lagi.

Thomas juga bertindak menghentikan prosiding undang-undang ke atas 12 individu termasuk 2 pimpinan DAP yang didakwa menyokong Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) walaupun pihak PDRM mempunyai kes terhadap mereka.

5. Perlanggaran Sumpah Kerahsiaan

Tommy Thomas melanggar Sumpah Kerahsiaan Jawatan dan Akta Rahsia Rasmi (Akta 88) 1972 dengan mendedahkan kepada umum di dalam bukunya mengenai isi kandungan perbincangan dan konsultasi beliau selaku Peguam Negara bersama Perdana Menteri, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang diklasifikasikan sebagai sulit.

6. Perlanggaran Etika Untuk Melobi Jawatan Peguam Negara

Tommy Thomas mengakui bahawa beliau ‘melobi’ jawatan Peguam Negara sejak dari sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 pada tahun 2013. Beliau juga mengakui telah mendapatkan sokongan mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang bagi jawatan ini dan memaklumkan kepada YABhg Tun Dr Mahathir selepas kemenangan PRU-14 pada tahun 2018.

Beliau juga secara langsung ataupun tidak menzahirkan kecenderungan politik beliau hingga mencairkan prinsip keadilan dalam melakukan pendakwaan terpilih bersifat politik terhadap pemimpin-pemimpin yang berbeza ideologi politik dengan beliau.

7. Penghinaan Kepada Institusi Perundangan Negara

Tommy Thomas jelas memperlekeh dan mendakwa pegawai-pegawai undang-undang yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebagai terlalu birokratik, makan gaji, dan tidak mempunyai komitmen, kompetensi dan semangat dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Dakwaan ini amat serius hingga mampu memberi impak negatif daripada kaca mata rakyat terhadap badan perundangan negara yang seharusnya menjadi benteng keadilan buat mereka.

Justeru itu jelas Dr Asyraf, berpandukan kepada tujuh asas di atas, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar kerajaan segera menubuhkan sebuah RCI bagi menyiasat segala salah laku dan isu-isu yang dibangkitkan di dalam buku bekas Peguam Negara tersebut.

“Ini penting bagi memastikan kepercayaan rakyat tidak sesekali terhakis terhadap badan-badan yang terlibat dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang negara seperti Badan Kehakiman, Jabatan Peguam Negara, PDRM dan SPRM.

“Malah yang lebih mustahak mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Sistem Keadilan dan Perundangan Negara secara keseluruhannya agar tiada pihak yang teraniaya dan menjadi mangsa kepada perpolitikkan pihak berkepentingan,” tegasnya lagi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.