Buku Tommy Thomas: UMNO Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR, 5 Feb – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini membuat laporan polis berhubung kandungan buku ‘My Story: Justice In The Wilderness’ yang ditulis bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.

Laporan berkenaan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini petang tadi.

Menurut Ahmad, antara sebab laporan berkenaan dibuat adalah kerana buku tersebut dilihat terutama dalam bab 6 dan bab 7 membuat tuduhan-tuduhan yang tidak benar dan memesongkan fakta sejarah.

Katanya apabila penulis menyebut Allahyarham Tun Abdul Razak selaku Perdana Menteri Malaysia yang kedua terlibat menyebabkan rusuhan kaum peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan dalam kedua-dua bab itu juga menyatakan bahawa seolah-olah Tun Abdul Razak mengadakan kudeta kononnya kerana Allahyarham mengetahui beliau berpenyakit leukimia maka seolah-olah beliau cuba merampas kuasa daripada Tunku Abdul Rahman.

“Jadi perkara-perkara begini adalah tidak benar dari segi fakta sejarah dan kita tahu bahawa kertas putih telah dibentangkan mengenai peristiwa berkenaan dan ada juga kenyataan seolah-olah kaum Melayu yang mencetuskan peristiwa 13 Mei.

“Jadi perkara-perkara ini pada pandangan peguam-peguam UMNO ianya melanggar peruntukan di bawah Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan 1948 iaitu percubaan untuk mendatangkan kebencian atau penghinaan terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia, mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara masyarakat. Kami berpandangan ini adalah satu kesalahan seiring dengan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kedua katanya lagi dalam keseluruhan buku berkenaan ada komen-komen yang menyentuh mengenai prosedur, pendakwaan, kertas-kertas siasatan yang dianggap maklumat-maklumat itu dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak seharusnya didedahkan kepada masyarakat umum.

“Pandangan kami penulisan itu adalah tidak sesuai dan ianya melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972,” ujarnya.

Ketiganya tambah Ahmad, pandangan Tommy Thomas kepada Timbalan-timbalan Pendakwaraya dan juga keseluruhan Jabatan Peguam Negara yang mana dikira mengundang persepsi negatif atas tugas-tugas mereka sebagai pegawai kerajaan dan penjawat awam yang berdedikasi.

“Atas sebab-sebab tiga perkara utama itu saya membuat laporan polis agar pihak Polis menyiasat Tommy Thomas di bawah Seksyen 3 dan 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas