Pemuda UMNO Buat Laporan Polis, Dakwaan Tommy Thomas Serius Dan Semberono

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Susulan kenyataan medianya semalam bertajuk ‘Ketelusan Dakwaan Tommy Thomas Wajib Dipersoal’, hari ini Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhammad Nur Aizat Noor Azam mewakili sayap parti itu membuat satu laporan polis di Balai Polis Travers, di sini.

Kata Aizat, beliau terpanggil untuk membuat laporan ini mewakili Pemuda UMNO kerana melihat isu tulisan dan dakwaan Tommy Thomas di dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’ adalah serius dan semberono.

“Tommy Thomas seharusnya malu terhadap dirinya sendiri dengan menghasilkan buku yang lebih kepada satira politik untuk mencari salah pihak lain dan cuba menutup kesalahan diri sendiri semasa menjadi Peguam Negara.

“Dalam laporan hari ini, kita meminta agar Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat siasatan terhadap Tommy Thomas di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan juga Seksyen 203A Kanun Keseksaan kerana Tommy Thomas telah membuat pendedahan umum maklumat-maklumat sulit kerajaan yang ada dalam pengetahuan Tommy Thomas sebagai seorang bekas Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Aizat juga dimaklumkan bahawa banyak lagi pihak dari seluruh negara yang akan membuat laporan yang sama terhadap bekas Peguam Negara lantikan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu.

“Kebimbangan kami, sekiranya perkara sebegini tidak diambil tindakan yang sewajarnya, boleh menimbulkan huru-hara negara dan mencabar kredbiliti sistem perundangan negara,” tegasnya.

Semalam, dalam satu kenyataan Aizat yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Merbok antara lain berkata Tommy dalam buku tersebut telahpun membuat dakwaan-dakwaan tentang urusan pemerintahan (‘government affairs’) yang kononnya berlaku semasa beliau menjalankan tugasnya sebagai Peguam Negara.

“Urusan pemerintahan ini adalah urusan yang sepatutnya menjadi rahsia rasmi yang tidak seharusnya didedahkan kepada orang awam (walaupun ianya benar sekalipun, yang mana adalah dinafikan).

“Persoalan yang timbul di sini adalah apakah motif beliau dalam membuat dakwaan-dakwaan sedemikian hanya selepas beliau meletakkan jawatan?

“Sekiranya dakwaan-dakwaan tersebut (berkenaan urusan pemerintahan) adalah benar, yang mana adalah dinafikan, dan beliau amat tidak berpuas hati dengan urusan pemerintahan yang didakwa tersebut, beliau sepatutnya meletakkan jawatan beliau dengan segera (‘immediately’) dan bukannya meletakkan jawatan hanya apabila mengetahui bahawa kerajaan PH telah jatuh,” tegasnya.

Begitu juga bidasnya lagi dengan tindakan Tommy yang tidak bertanggungjawab menghina dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap pegawai bawahannya kerana sebagai Peguam Negara mesti berpegang kepada prinsip bertanggungjawab bersama (‘collective responsibility’) kepada Jabatan Peguam Negara dan bukannya bertindak dengan membuat dakwaan sebegitu. – UMNO ONLINE