Langsung Tiada Penjelasan Dari Tommy Thomas Kenapa Kes Rasuah Guan Eng Digugurkan – Isham Jalil

KUALA LUMPUR, 4 Feb – Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Isham Jalil berkata apa yang tiada dan tidak sikit pun disentuh dalam buku memoir Tommy Thomas setebal lebih 500 muka surat ialah penjelasan mengapa beliau sebagai Peguam Negara telah menggugurkan kes rasuah rakannya Lim Guan Eng pada tahun 2018.

Kata Isham, itu adalah suatu perkara penting dalam karier bekas Peguam Negara lantikan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) itu namun ia tidak ditulis dalam memoirnya.

“Apa yang ada dalam bukunya yang dekat dengan hal ini adalah satu ayat ringkas sahaja pada muka surat 242 yang membincangkan berkenaan kenyataan-kenyataan media yang dibuatnya di mana ayat tertera dalam bukunya menyatakan bahawa: “Hanafiah himself released one (media statement) to explain the reasons he took in deciding to withdraw criminal charges against Lim Guan Eng”. (Hanafiah sendiri telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk menjelaskan sebab-sebab dia membuat keputusan menarik balik tuduhan jenayah ke atas Lim Guan Eng). Itu sahaja. Tiada yang lain.

“Tommy Thomas tidak mahu sentuh isu besar dan penting tetapi sensitif kepadanya dalam buku panjang lebarnya ini walaupun dia selesa mengutuk pihak lain dalam berkajang-kajang penulisannya.

“Dan bukan sahaja dia cuba mengelak dari isu tersebut malah dia cuba mengalih tanggungjawab atau menyalahkan pegawai di bawahnya di Pejabat Peguam Negara (Mohamad Hanafiah Zakaria) padahal kuasa untuk menentukan sama ada kes rasuah Lim Guan Eng digugurkan atau tidak adalah terletak di tangan beliau (Tommy Thomas) sebagai Peguam Negara,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook mengulas buku Tommy Thomas bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Dalam buku tersebut juga kata Isham, bekas Peguam Negara itu banyak bercerita tentang latar belakang dirinya dan keluarganya di beberapa bab-bab awal.

“Kemudian dalam kebanyakan muka surat-muka surat penulisannya dia menghabiskan bukunya dengan banyak bercerita berkenaan Najib, Najib, Najib, dan Najib, serta UMNO dan skandal-skandal UMNO serta keburukan kerajaan Barisan Nasional, sambil memuji-muji perjuangan PH, Dap dan rakannya Lim Guan Eng yang katanya kononnya “selalu difitnah dan diburukkan”,” tambahnya.

Justeru pada hemat Isham, Tommy Thomas tidak tulis berkenaan pengguguran kes Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng di dalam bukunya kerana amat malu.

“Perkara inilah yang akan diingati oleh ramai orang sebagai legasi Tommy Thomas dalam hidup dan kariernya, dan bukan perkara-perkara lain yang ditulis dalam bukunya,” bidasnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.